![]() |
|
Gambar bertarikh 6 April 2006, ketua editor majalah Playboy Indonesia, Erwin Arnada menunjukkan naskhah pertama dan terakhir majalah itu di Jakarta. – AP
|
JAKARTA 26 Ogos – Pendakwa raya hari ini mencari bekas ketua editor majalah Playboy Indonesia selepas mahkamah tertinggi negara ini menjatuhkan hukuman penjara dua tahun terhadapnya kerana menyiarkan gambar wanita berpakaian mendedahkan tubuh.
Erwin Arnada dibebaskan oleh Mahkamah Daerah Jakarta Selatan pada April 2007, selepas hakim mahkamah itu menyatakan gambar berkenaan tidak boleh dikategorikan sebagai bahan lucah di bawah kod jenayah Indonesia.
Rayuan kes tersebut dikemukakan di Mahkamah Agung, yang memutuskan bahawa tertuduh disabit kesalahan pada 2008, tetapi keputusan itu hanya dimaklumkan kepada pendakwa raya semalam.
Masih belum jelas mengapa keputusan itu hanya diberitahu selepas dua tahun mahkamah menyabitkan kesalahan terhadap Arnada.
“Saya hanya mengetahui tentang perkara ini semalam. Saya tidak tahu sebab keputusan ini lambat diumumkan dan mengapa baru sekarang ia diberitahu. Dia (Arnada) masih bebas,” kata ketua pendakwa raya, Yusuf yang menambah, pihaknya sedang mencari bekas editor itu supaya dia boleh dibawa ke penjara.
Indonesia, sebuah negara sekular yang dihuni paling ramai penganut Islam di dunia, mengamalkan kebebasan media dan mempunyai sejarah tolak-ansur yang panjang, walaupun satu kumpulan pelampau kecil dilihat lantang bersuara dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
Anggota Barisan Pertahanan Islam (IDF) yang mengemukakan kes terhadap Erwin, menyerbu pejabat Playboy di selatan Jakarta tidak lama selepas majalah Amerika versi Indonesia itu berada di pasaran pada 2006.
Sejak itu, penerbitan majalah tersebut dihentikan.
“Mengapa Arnada tidak berada di penjara? Ini mengarut kerana kita hanya diberitahu tentang perkara ini sekarang. Ia seolah-olah cuba menyembunyikan kes ini daripada kita,” kata seorang daripada peguam, Munarman.
Panggilan telefon yang dibuat bagi mendapat ulasan lanjut tidak dijawab oleh Arnada atau pegawai Mahkamah Agung. – AP
/// utusanmalaysia ///

editor kisah remaja diburu!!
hahahahaha….. larikkkk….