Angelina Jolie buat pembedahan plastik
Aktres jalani rawatan regangkan kulit wajah yang kendur
LONDON: Bintang Hollywood, Angelina Jolie mencetuskan khabar angin bahawa beliau menjalani pembedahan plastik selepas satu gambar dirakamkan menunjukkan tanda yang pelik pada bahagian lehernya ketika penggambaran filem terbarunya di Venice.
Bintang filem aksi ‘Tomb Raider’ itu kelihatan mempunyai dua tanda jahitan di bawah telinga kanannya. Kulitnya juga kelihatan merah seperti luka.
Gambar terbaru itu mencetuskan khabar angin kononnya pelakon berusia 34 tahun itu menjalani rawatan ‘ribbon lift’ iaitu satu prosedur menegangkan kulit wajah yang kelihatan kendur, pembedahan plastik yang semakin mendapat sambutan di Hollywood.
Prosedur dengan kos berjumlah 4,000 pound (RM21,000) itu membabitkan pembedahan kecil berhampiran bawah telinga untuk membolehkan satu riben penyerap dipasang, lapor dailymail.co.uk.
Prosedur berkenaan dilaporkan mengambil masa selama 12 minggu untuk sembuh dan menjadikan kulit leher kelihatan tegang.
Seorang saksi di Venice berkata: “Beliau kelihatan amat pelik.”
“Beliau biasanya kelihatan tidak cacat tetapi tanda itu jelas nampak aneh. Kulit berkenaan kelihatan menarik mukanya ke belakang leher,” kata saksi berkenaan.
Sebelum ini penyanyi Madonna, 50, juga dilaporkan turut menjalani rawatan pembedahan ‘ribbon lift’ apabila beliau tampil dengan memiliki wajah kekal muda tanpa sebarang kedutan pada majlis anugerah Oscar tahun lalu.
Rawatan berkenaan dilaporkan mengambil masa selama dua bulan untuk memastikan riben yang dipasang menyerap manakala kulit wajah akan bertahan cantik tanpa kedutan selama kira-kira tiga tahun.
Prosedur pembedahan berkenaan dikatakan mengambil masa selama kira-kira 30 minit dan mudah didapati di kebanyakan klinik di Beverly Hills dengan kos kira-kira AS$6,000 (RM31,000). – Agensi
-bharian






