KIRIMAN SMS lucah menawarkan khidmat urutan istimewa yang didakwa pakar urut profesional. |
Lelaki tawar khidmat khas untuk wanita menerusi SMS
PUCHONG: Kepuasan dijamin dan servis ke muka pintu! Itulah antara janji diberi seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai Azrai yang mendakwa sebagai seorang tukang urut profesional dari sini, menawarkan khidmat urutan istimewa untuk golongan wanita.
Khidmat yang ditawarkan itu dulunya popular dan berselindung di sebalik nama pusat urut, kini beralih dengan lelaki terbabit membuat promosi melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan dihantar kepada orang ramai tanpa mengira usia.
Seorang suri rumah yang enggan namanya disiarkan berkata, kegiatan itu semakin membimbangkan berikutan pihak terbabit masih mengekalkan tujuan sama seperti ‘pusat urut istimewa’ yang lain, namun kini ia bergerak secara bersendiri dengan menawarkan khidmat one-to-one kepada wanita.
Beliau berkata, pelbagai pujukan dibuat selepas berbalas SMS antaranya pelanggan wanita tidak perlu takut diserbu kerana pakar urut terbabit akan datang terus ke rumah apabila perkhidmatannya diperlukan.
“Antara bayaran dikenakan bergantung kepada jenis urutan dari khidmat pakar itu bermula RM60 sejam dan kadar rata RM50 apabila melanggan lebih dari dua jam.
“Dakwa SMS itu, khidmat ‘urutan kasih sayang’ diberi secara percuma kepada setiap pelanggan selepas selesai menjalani pakej urutan yang dipilih.
“Apa yang menghairankan saya, pakar urut terbabit tidak akan datang ke rumah jika mengetahui ada lelaki lain di rumah pelanggannya,” katanya kepada Sentral.
Seorang lagi suri rumah berkata, pelanggan yang baru pertama kali melanggan khidmat itu, tidak dikenakan bayaran dan dapat merasai nikmat urutan yang mengghairahkan secara percuma.
Bagaimanapun, katanya, kesahihan perkhidmatan urut profesional itu tidak dapat dipastikan dan dikhuatiri selepas memberi alamat rumah, pelbagai kemungkinan boleh berlaku kepada wanita yang cuba mendapatkan khidmat lelaki terbabit.
“Saya hampir terkena, tetapi nasib menyebelahi saya selepas mendapati cara lelaki terbabit agak mencurigakan ketika datang ke rumah kerana dia tidak membawa peralatan mengurut,” katanya.
Seorang pelajar enggan dikenali berkata, ketika menerima pelawaan SMS terbabit, dia sekadar suka-suka berbalas SMS bagi mengetahui tujuan sebenar pengirim selepas cuba menghubungi nombor yang tertera tidak dijawab.
“Saya sengaja membalas SMS yang diberi kononnya berminat dengan pelawaan yang dibuat dan apabila bertanyakan mengenai ‘special services’ yang ditawarkan, SMS berunsur lucah pula diterima.
“Kata SMS itu, urutan terbabit hanya perlu dijalankan secara persendirian sama ada di rumah atau hotel dengan alasan mutu kerjanya akan meningkat jika tidak ditonton ramai pihak.
“Selang beberapa minit apabila SMS tidak berbalas, saya kemudian dipelawa melanggannya secara percuma buat pertama kali dan menambah perlu merasai urutan kerana ia menyeronokkan,” katanya.
-bharian
Hi, dropped by to visit!
thks for visiting my blog….