Knight pegang watak jaguh golf curang, Kross berlakon isteri
NEW YORK: Hanya kira-kira dua minggu selepas kisah kecurangan pemain golf terkemuka dunia Tiger Woods terbongkar, sebuah filem dewasa berjudul ‘Tiger’s Wood’ kini dalam pembikinan, lapor laman web E! Online.
Laman web berkenaan yang berjaya memperoleh skrip filem lucah itu, melaporkan filem terbabit yang menceritakan mengenai kehidupan ranjang pemain golf nombor satu dunia itu adalah satu ‘ejekan terbuka’ kepada Woods yang dianggap sebagai lelaki ‘gila seks‘.
Laman web Knight pula melaporkan, filem itu yang diterbitkan oleh Adam & Eve Pictures, akan dilakonkan oleh Tyler Knight sebagai Woods dan Kayden Kross sebagai Elin Nordegren,
“Saya akan melakonkan watak Elin. Syarikat menjangka filem itu akan dapat ditayangkan dalam tempoh lapan minggu lagi,” kata Kross yang menegaskan beliau berasa amat teruja untuk berlakon dalam filem itu.
Penerbit Adam & Eve Pictures, Meredith Christopher dalam kenyataannya menyifatkan skandal seks di kalangan selebriti dan ejekan berbentuk filem lucah sebagai ‘perkara lumrah’.
“Setiap hari perkembangan baru berlaku termasuk pendedahan teman wanita terkini Woods dan ia sentiasa menarik perhatian ramai. Kami mungkin menerbitkan satu lagi filem bergantung pada apa yang akan berlaku pada masa depan,” katanya.
Penerbitan filem berunsur lucah bertujuan mengejek atau memperlekeh seseorang selebriti dianggap tradisi dalam filem dewasa.
Usaha menerbitkan ‘Tiger’s Wood’ mengingatkan peminat kepada filem ‘Who’s Nailin’ Paylin?’ yang diterbitkan ketika kempen pilihan raya presiden, lakonan Lisa Ann sebagai Sarah Palin, Jada Fire sebagai Condoleezza Rice dan Nina Hartley sebagai Hillary Clinton.
Dalam perkembangan terbaru, FoxNews.com pula melaporkan syarikat hiburan dewasa terbesar Amerika, Vivid Entertainment menawarkan AS$1 juta (RM3.54 jtua) kepada mana-mana kekasih Tiger Woods yang bersedia muncul dalam salah satu filem keluarannya.
“Tawaran kami ditujukan kepada kekasih Tiger Woods yang sanggup berlakon dalam filem kami dan menggambarkan secara terperinci apa yang dialami pemain golf itu ketika bersama mereka di ranjang. Kami yakin mereka akan mengambil peluang ini,” kata laman web itu yang memetik kenyataan pengerusi bersama dan pengasas syarikat berkenaan Steven Hirsch.
Sementara itu, di Miami, Woods mengeluarkan ucapan maaf kali kedua dengan penuh kekesalan, mengakui buat pertama kali menipu isterinya dan mengumumkan akan berundur seketika daripada sukan golf profesional untuk memperbaiki dirinya.
Beliau membuat pengumuman mengejutkan dalam tulisan terbaru laman webnya dengan mengakui curang sambil memohon maaf serta meminta keluarga, rakan dan penyokongnya memaafkan kesalahannya.
Woods sebelum ini hanya mengakui ‘pernah melanggar peraturan’ sebagai maklum balas terhadap pelbagai tuduhan media mengenai kecurangannya.
Dakwaan itu diikuti kemalangan kecil waktu pagi yang dianggap luar biasa di luar rumahnya di Florida pada 27 November lalu yang kemudian secara pantas bertukar kepada pendedahan skandal seks penuh yang menukar kehidupan dan kerjayanya yang bersih menjadi huru hara.
“Saya kini menyedari kekesalan dan kekecewaan akibat kecurangan saya terhadap ramai orang, terutama kepada isteri dan anak saya,” kata Woods. ? Agensi
-bharian