Woods ada 13 kekasih, patah gigi ‘diserang’ isteri




ORLANDO: Senarai wanita yang dikaitkan dengan pemain golf Tiger Woods kini bertambah kepada 13 orang, lapor majalah Us, walaupun namanya belum dinyatakan, tetapi akan didedahkan sedikit masa lagi.

Pada masa sama, satu laporan menyatakan pemain golf itu patah sebatang gigi dalam pergaduhan dengan isterinya, Elin Nordegren, selepas kecurangannya terbongkar.

Woods dilaporkan ‘ketakutan’ pada malam beliau bertengkar dengan Elin sebelum meninggalkan isterinya dan terbabit dalam kemalangan di luar kediaman di Orlando, Florida.

Sumber memberitahu Us, Elin nampak Woods menghantar pesanan ringkas kepada Rachel Uchitel, wanita pertama yang mendedahkan hubungannya dengan pemain golf itu.

“Elin bersemuka dengan Woods dan bergaduh. Dia dipercayai membaling telefon bimbit itu dan terkena mulut Woods,” kata sumber itu.

Keadaan menjadi lebih dramatik apabila majalah The Examiner menyiarkan gambar rakaman video seks membabitkan Woods dengan wanita simpananya ketujuh, Holly Sampson, pelakon filem lucah.

Uchitel pula mengadakan sesi temuramah dengan majalah OK! manakala banyak emel yang dihantar Woods kepadanya turut disiarkan semalam, sekali gus memberi isyarat hubungan mereka lebih daripada kekasih.

Wanita lain yang turut mendakwa intim dengan Woods termasuk Jaimee Grubbs yang memberi kenyataan kepada majalah Extra dan memohon maaf kepada Elin. ? Agensi

-bharian