
DUBLIN – Bekas penyanyi kumpulan Liberty X, Michelle Heaton (gambar) terjatuh semasa dia menarik kain penutup kereta Ford Fiesta baru dalam majlis pelancaran yang diadakan sebagai sebahagian daripada program realiti televisyen The Apprentice versi Ireland, lapor sebuah akhbar semalam.
Dia yang memakai kasut tumit tinggi itu terjatuh ke lantai di depan sejumlah tetamu undangan di sini baru-baru ini.
Seorang wanita kemudian membantu Michelle bangun semasa dia terbaring di atas lantai.

Semasa dia bangun, tetamu boleh mendengar dia mengeluh: “Oh tuhan.”
Dia kemudiannya bergurau kepada tetamu dengan berkata: “Ia jelas sudah dirancang.”
Penjelasan Michelle itu menyebabkan penonton menepuk tangan.
Selepas majlis itu, Michelle menjelaskan bahawa dia tersadung seperti kebanyakan wanita lain yang memakai kasut bertumit tinggi.

Dalam program realiti itu, setiap pasukan perlu mengupah seorang selebriti sebagai jurucakap dalam pelancaran tersebut.
Michelle mewakili satu pasukan yang mengupahnya untuk menjadi jurucakap pada majlis pelancaran kereta itu.
Walaupun dia terjatuh, pasukan Michelle menang dalam pertandingan tersebut. – Agensi
-KOSMO