![]() PELAYAN restoran warga China yang dipercayai GRO ditahan ketika serbuan polis di Permatang Pasir. |
Kawasan dipenuhi nyamuk tak halang warga China tawar aktiviti tidak bermoral
BANTING: Meneguk arak sambil ditemani pelayan jelita warga China di restoran di tengah kebun kelapa sawit yang letaknya jauh terpencil dari penempatan penduduk di daerah ini, menggamit lelaki tempatan berhidung belang untuk mengisi kehidupan malam.
Apa tidaknya, mereka menerima layanan istimewa daripada pelayan China Doll sehingga lewat malam dalam suasana gelap yang hanya disinari lampu gasolin atau sinaran bulan.
Atas desakan hati untuk mendapatkan layanan istimewa daripada pelayan selaku pelayan pelanggan (GRO) itu, ramai lelaki sanggup menghabiskan masa, wang dan meredah kepekatan malam untuk singgah ke restoran berkenaan.
Bagaimanapun, awas, kerana polis sudah lama menyasarkan restoran itu dan tidak akan berdiam diri.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ishak menegaskan pihaknya sentiasa membuat pemantauan secara berterusan bagi membasmi kegiatan terbabit daripada berleluasa.
![]() |
| PELAYAN warga China ditahan ketika asyik melayan pelanggan. |
Bagaimanapun, beliau menjelaskan beberapa serbuan terhadap restoran terbabit sebelum ini mendapati ia hanya dijadikan transit pertemuan dan tidak ada unsur pelacuran.
“Kami percaya ada tidak lebih 10 restoran dalam kebun kelapa sawit yang masih beroperasi walaupun sudah banyak kali serbuan dilakukan ke premis terbabit.
“Dalam serbuan sebelum ini, restoran itu didapati menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan seperti teman minum, manakala pelayan menerima tip bagi perkhidmatan layanan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau berkata, polis akan meningkatkan kerjasama dengan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) bagi menjalankan operasi terhadap premis terbabit dan mengeluarkan notis penutupan operasi atau merobohkan premis haram jika pemilik ingkar.
Sentral pada 7 November lalu melaporkan kejayaan polis menahan empat GRO warga China ketika asyik melayan pelanggan di sebuah restoran di dalam kawasan kelapa sawit yang dipercayai tidak berlesen.
Menghairankan apabila ada warga asing sanggup bekerja sebagai GRO untuk menemani pelanggan di restoran berkenaan dalam keadaan tidak selesa sedangkan mereka boleh memilih hotel atau kelab malam mewah.
Ia kerana di restoran berkenaan, hanya disediakan meja bulat plastik ditutupi kain kanvas jarang berwarna hitam yang diatur bersama lima atau enam kerusi.
Walaupun tanah kebun kelapa sawit berlumpur dan dipenuhi nyamuk, aktiviti tidak bermoral itu mendapat sambutan pelanggan yang mungkin cuba mencari kelainan dalam menjamu mata dan berhibur.
Selain menghidangkan layanan GRO kepada pelanggan, restoran terbabit masih berfungsi sebagai sebuah restoran apabila turut menawarkan menu hidangan makanan kepada pelanggan yang singgah ke lokasi terbabit.
Antara lokasi yang dikenal pasti menghidangkan pelayan import dari China dengan reka bentuk sebuah restoran berbumbung zink dan ada kalanya beratap dan berdinding kayu itu ialah di Permatang Pasir, Tanjung Sepat dan sekitar Kuala Langat.
Apa yang nyata, kewujudan premis haram itu hanya menjejaskan imej Kuala Langat yang sedang rancak membangun seperti termaktub dalam Draf Rancangan Tempatan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) 2020.
-bharian

