Jennifer Lopez |
Tiada apa yang hampir kepada seks di dalamnya: Peguam
LOS ANGELES: Rakaman video bulan madu Jennifer Lopez yang mahu digunakan bekas suaminya untuk pembikinan satu dokumentari bukan kategori X tetapi PG.
“Tiada apa yang hampir kepada seks di dalamnya,” kata peguam Lopez, John Lavely kepada majalah People.
“Kami tidak pernah menyatakan ia lucah. Namun ia masih sesuatu yang peribadi dan sulit untuk anak guam saya.”
Mahkamah di sini kelmarin mengekalkan keputusan bahawa bekas suami Lopez, Ojani Noa, dihalang daripada menggunakan rakaman video lebih 11 jam itu, 20 peratus yang didakwa merakamkan Lopez, untuk digunakan dalam dokumentari mengenai kehidupannya sebagai pendatang Cuba, sebelum ini bertajuk How I Married Jennifer Lopez: The JLo and Ojani Noa Story.
“Mereka cuba menghalang saya daripada membuat dokumentari sendiri dan saya berjuang untuk mendapatkan hak saya,” kata Noa di luar mahkamah.
“Mereka tidak berlaku adil.” Noa yang bercita-cita menjadi pelakon dan model menafikan beliau cuba menjaja rakaman itu sebagai pita seks.
Rakaman itu mengandungi adegan daripada perkahwinan bekas pasangan suami isteri itu di Florida dan bulan madu di Cuba, kata rakan kongsi filem Noa, Claudia Vazquez kepada People, namun projek itu disalah erti oleh akhbar tabloid dengan menganggapnya mengandungi adegan seks, katanya.
Vazquez menambah tajuk projek itu diubah kepada The Escape bagi merujuk Noa melarikan diri dari negara asalnya.
Noa, 35, yang turut disaman AS$10 juta (RM33.78 juta) oleh Lopez kerana melanggar kontrak, menegaskan perjanjian sulit kedua-nya yang ditandatangani sebelum itu mengenai hubungan mereka ‘seharusnya diabaikan’ kerana mendakwa dia mengambil peluang yang ada dan tujuannya disalah erti.
Katanya, beliau bercadang membawa kes rakaman video itu untuk dibicarakan. ? Agensi
-bharian