SUPERMODEL Britain, Katie Price. |
Supermodel seksi tak tahan ujian hidup di hutan
LONDON: Gara-gara tidak tahan dengan ujian ‘kerahan’ yang dikenakan ke atasnya, model, pengacara televisyen dan ahli perniagaan Katie Price mengambil keputusan meninggalkan rancangan realiti televisyen mengenai keupayaan hidup di hutan I’m A Celebrity… Get Me Out Of Here!, semalam.
Akhbar The Sun melaporkan pegawai kanan rancangan itu menghabiskan lebih dua jam memujuk dan cuba menyakinkan Katie agar menukar fikiran, selepas dia mengambil keputusan meninggalkan rancangan itu apabila dimaklumkan bahawa pengundi awam mengundi agar beliau menjalani ‘kerahan’ untuk kali ketujuh.
“Saya tidak tahan lagi. Saya tidak boleh menjalani satu lagi kerahan tenaga. Saya akan keluar daripada rancangan ini. Tekanan yang terpaksa dihadapi setiap individu amat berat.
“Cara penonton ‘melayan’ saya dalam rancangan itu akan membuatkan banyak pihak beranggapan bahawa saya adalah orang yang paling dibenci di Britain,” katanya yang dipetik akhbar itu.
Katie yang lebih dikenali dengan nama ‘Jordan’ sebelum ini bersetuju kembali ke rancangan yang mempertemukan beliau dengan bekas suaminya Peter Andre pada 2004 dalam usaha memulihkan imejnya sejak perpisahan mereka, tetapi mengaku ia tidak seperti yang diharapkannya.
“Saya menjadi bahan jenaka. Semua orang nampaknya bencikan saya lebih daripada yang saya sendiri sangkakan,” katanya.
Beliau mengaku memberi persetujuan untuk kembali ke rancangan itu untuk memulihkan imej dirinya selepas perceraian dengan suaminya namun sekarang beliau berasa tidak selesa dengan apa yang dilaluinya.
Sementara itu, sumber di televisyen ITV mengesahkan bahawa Katie sudah meninggalkan rancangan itu.
“Kami cuba berbincang dengannya agar terus berada dalam program ini tetapi nampaknya keputusan Katie muktamad dan beliau sudah meninggalkan lokasi rancangan,” kata sumber itu.
Rancangan I’m a Celebrity… Get Me Out of Here! mensyaratkan selebriti tinggal bersama dalam kawasan hutan untuk memenangi hadiah wang tunai bagi tujuan amal.
Mereka dikehendaki menamatkan ‘kerahan hutan’ iaitu ujian ketahanan fizikal membabitkan pelbagai haiwan dan serangga seperti ular dan labah-labah. Selebriti terakhir bertahan akan diisytiharkan pemenang.
Siri itu diperkenalkan di Britain oleh Granada Television untuk ITV dan disiarkan kali pertama pada 2002. – Agensi
-bharian