Sofia ‘buat lawak’ tak kena tempat
SOFIA Vergara |
WASHINGTON: Aktres seksi Colombia, Sofia Vergara, dilaporkan mengejutkan penonton televisyen selepas beliau membuat jenaka spontan mengatakan dirinya dirogol.
Bintang filem itu yang pernah dikatakan ada hubungan dengan aktor terkenal, Tom Cruise, pada 2005, cuba untuk menceriakan kemunculan beliau dalam rancangan televisyen Amerika, The View, dengan membuat kenyataan kontroversi.
Penyampai program itu mulanya menyatakan terkejut kerana Sofia, 37, yang digelar ‘Sofia Viagra’ kerana tarikan beliau pada lelaki, mempunyai anak lelaki berusia 18 tahun.
Pengacara itu, Sherri Shepherd berkata: “Anda juga seorang ibu tunggal bagi seorang remaja lelaki yang berusia 18 tahun? Anda memang hebat! Saya tidak boleh berbohong mengenai usia.”
Ketika penonton melihat sekeping foto Sofia bersama anak lelakinya, Manolo Gonzalez, pengacara Sherri berkata: “Adakah anda lahirkannya ketika berusia 12 tahun?”
Sambil ketawa Sofia membalas: “Tiga belas (tahun). Saya dirogol.”
Seorang penyampai rancangan lain, pemberita veteran, Barbara Walters tergamam seketika apabila Sofia membuat kenyataan demikian manakala Whoopi Goldberg yang juga pengacara rancangan bual bicara berkenaan turut terperanjat.
Bintang Ghost berkenaan menimbulkan kemarahan bulan lalu kerana mengatakan dalam rancangan The View bahawa perbuatan Roman Polanski mencabul budak berusia 13 tahun pada 1977 bukan rogol.
Penonton di studio turut kedengaran menarik nafas terkejut mendengar kata-kata Sofia ketika rancangan terbabit dirakam, Rabu lalu.
Sofia dilaporkan pernah beberapa kali keluar berpacaran dengan Cruise pada 2005. Malah, aktres terbabit juga pernah menjadi teman penyanyi British, Craig David.
Penulis blog Hollywood pula marah dan ramai mengkritik Sofia sambil menyifatkan rogol bukan perkara yang boleh dijadikan gurauan meskipun ada cuba mempertahankan beliau dengan mendakwa jenakanya disalah ertikan.
Dalam rancangan bual bicara itu minggu lalu, Sofia turut bercakap mengenai rancangan televisyen barunya. Mengenai isu lain, aktres itu memberitahu beliau mahu menggoda Benjamin Bratt.
Sofia pada masa ini memainkan watak sebagai isteri pelakon Ed O’Neill dalam ‘Modern Family’ berkata beliau mahu karektornya beraksi dalam adegan asmara dengan aktor berkenaan. – Agensi
-bharian






