LOS ANGELES: Cubaan terbaru model glamor dan personaliti televisyen Britain, Katie Price, menembusi pasaran Amerika Syarikat berakhir dengan insiden memalukan, ketika dia diwawancara, semalam.
Menjadi tetamu dalam rancangan Chelsea Lately disiarkan stesen kabel E!, Katie diminta menceritakan perkembangan dirinya.
Hos rancangan itu, Chelsea Handler, memulakan sesi temu bual itu dengan berkata: “Bagaimana jika anda menjelaskan kepada penonton apa yang anda lakukan?”.
Model yang terkenal dengan payu dara besar itu kemudian bertanya, berapa lama masa diberikan kepadanya untuk bercerita.
Chelsea kemudian menyatakan, Katie, 31, diberi ruang selama enam minit.
Dalam kekalutan, Katie berkata, dia memulakan kerjayanya sebagai model dan mengeluarkan pewangi menggunakan namanya.
“Saya menulis 33 buku, mengeluarkan pakaian dalam, pakaian renang dan bermacam lagi.
“Apa saja yang anda bayangkan, saya akan hasilkan,” katanya.
Ibu kepada tiga anak itu juga bercerita mengenai rutinnya mendapatkan suntikan Botox.
“Saya selalu datang ke Los Angeles untuk suntikan Botox.
“Saya benar-benar menggemarinya,” katanya.
Kenyataan itu disampuk Chelsea dengan selamba: “Semua orang yang memandang anda tahu, dahi anda tak pernah bergerak.”
Menurut Katie, dia juga sering berkunjung ke Los Angeles untuk membentuk payu dara, selain merapi rambutnya.
Akhirnya, Chelsea memotong cakap Katie dengan berkata: “Saya tidak akan bertanya anda apa-apa lagi. Terpulang kepada anda untuk melakukan apa yang anda suka.
“Anda boleh hidup bersama kuda dan anak-anak anda, atau mendapatkan Botox.
“Saya tak mahu peduli sedikit pun.” – Agensi