
KUALA LUMPUR – Jika sebelum ini, orang muda lagi bergaya dipilih sebagai umpan oleh sindiket tertentu bagi mencari mangsa untuk ditipu, tetapi kali ini ia sebaliknya.
Tren terbaru sejak kebelakangan ini menunjukkan ada satu sindiket berwajah baru sedang aktif menjadikan warga emas berusia 50-an sebagai modal.
Dengan memanipulasikan sesuatu isu yang sedang berlaku termasuk hal-hal membabitkan politik, sindiket yang dipercayai didalangi warga Nigeria itu memilik warga emas untuk memujuk rayu mangsa-mangsanya menyerahkan sejumlah wang kepada mereka.
Bagaimanapun, polis menghadapi masalah untuk menyiasat geng tersebut apa lagi menumpas mereka kerana mangsa-mangsa enggan membuat laporan.
Mangsa-mangsa mungkin mengambil sikap berdiam diri kerana malu atau mereka membuat kesimpulan duit yang ditipu tidak akan diperoleh semula.
Satu sumber berkata, sindiket yang mula berkembang di Lembah Klang itu kebiasaannya gemar mencari sasaran mereka di kalangan peniaga kerana golongan itu dianggap sentiasa mempunyai wang.
Dengan menggunakan modus operandi menipu mengikut keadaan, warga emas yang berusia 50 hingga 60-an yang didalangi sindiket itu sedaya-upaya akan meya- kinkan mangsa-mangsanya sehingga mereka terjerat.
difahamkan, banyak kes melibatkan sindiket terbabit, malahan ada di kalangan mereka terpaksa menanggung kerugian sehingga berpuluh ribu ringgit.
Bagaimanapun, selepas menyedari tertipu, ramai di kalangan mangsa itu enggan membuat laporan polis kerana tidak yakin akan mendapat semula duit masing-masing.
Sumber berkata, antara modal yang pernah dikesan digunakan oleh warga emas yang menyertai sindiket itu ialah menerusi taktik yang dipanggil ‘duit politik’.
Sindiket terbabit akan berjinak- jinak dengan golongan yang mengidamkan sesuatu jawatan di dalam sesebuah pertubuhan parti politik yang disertai kerana mereka dikatakan lebih mudah terpedaya.
Apa tidaknya, mereka yang terlibat dengan politik sudah pasti memerlu modal banyak untuk dilaburkan bagi mendapatkan sokongan daripada para penyokong masing-masing.
Cerita sumber itu lagi, kesempatan itu diambil oleh sindiket terbabit yang menawarkan diri untuk menggandakan wang bagi tujuan itu dan berjanji akan memberikan pulangan lumayan bergantung kepada jumlah wang yang dilaburkan.