
KLUANG – Batu nisan pun jadi sasaran pencuri.
Itulah yang berlaku di kawasan Tanah Perkuburan Orang Islam Kampung Melayu, di sini yang semakin menjadi-jadi sejak awal tahun ini.
Semuanya gara-gara plat nama si mati yang diperbuat daripada tembaga dan batu nisan granit yang berharga.
Tinjauan Kosmo! di tanah perkuburan itu semalam mendapati, lebih separuh daripada kira-kira 6,000 batu nisan di situ sudah tidak mempunyai nama si mati.
Apa yang tinggal hanya batu nisan tanpa nama tetapi mempunyai tanda dan nombor.
Bagi batu nisan granit pula, dikatakan disebabkan harga pasarannya adalah tinggi iaitu sehingga RM4,000 sepasang, maka ia kini menjadi sasaran baru golongan tidak bertanggungjawab itu.
Seorang pengunjung tanah perkuburan itu, Mohamad Abdullah, 34, berkata, dia terkejut apabila melihat kebanyakan kubur di situ tidak mempunyai nama.
Pada awalnya, dia menyangkakan tanda nama di situ mungkin dicabut untuk kerja-kerja mengecat batu nisan.
Namun, katanya, apabila melihat bilangannya terlalu banyak dan yang tinggal hanya kesan gam, ia menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena.
“Saya yang selalu datang ke sini mungkin tidak ada masalah untuk mencari kubur orang tua tetapi bayangkan bagaimana bagi mereka yang menziarah setahun sekali.
“Pasti timbul masalah untuk mencari kubur ahli keluarga masing-masing,” katanya.
Sementara itu, tinjauan Kosmo! di tanah perkuburan Islam berhampiran, iaitu Tanah Perkuburan Islam Jalan Haji Manan pula dikejutkan dengan kejadian kecurian batu nisan granit.
Seorang penjaga di tanah perkuburan di situ, Razak Janis berkata, kegiatan kecurian plat tembaga di tanah perkuburan Kampung Melayu mula dikesan sejak awal tahun ini, tetapi kehilangan batu nisan granit dilihat baru berlaku sejak beberapa bulan lalu.
-KOSMO
Ini gila namanya ni
Gila tak bertempat…. kemaruk sesangat…..