Membebel… Membebel!

Lelaki, wanita – siapa juara leter?

INI salah, itu tidak betul. Serba serbi tidak kena di mata. Begitulah lumrah manusia yang tidak pernah berpuas hati dengan apa yang dimiliki mahupun dirasai. Melontar pandangan tidak semestinya diterima bulat-bulat atau mengharapkan ramai yang menyokong.

Kesannya timbullah konflik yang membawa kepada pertindihan pendapat. Begitu juga apabila menyentuh soal perbezaan gender antara lelaki dan wanita.

Lelaki dan wanita masing-masing mahu mempertahankan hak ketika melontar pendapat. Biarpun ramai yang menganggap wanita lebih vokal dalam berkata-kata, lelaki juga tidak terkecuali memiliki perspektif berbeza ketika berhujah. Silap hari bulan, apa yang dilafazkan lelaki lebih berbisa!

Kolum XY vs XX minggu ini mengumpul pandangan lelaki dan wanita perihal siapa yang lebih kuat membebel? Lelaki atau wanita?

Aldrin Norsan, 34

“BAGI saya, lelaki hanya akan membebel apabila ada perkara dilakukan pasangan berkali-kali. Bukan sengaja untuk mendebatkan masalah begini, tetapi ia berkaitan dengan kesalahan yang dilakukan berulang kali. Biarpun sudah dipesan, tetapi masih mengulangi kesalahan sama.

Sebagai lelaki, kita tidak boleh sekadar mengiyakan tindakan wanita. Seorang wanita harus berterima kasih apabila lelaki masih memberikan komen sebagai tanda prihatin dan perasaan sayang. Janganlah sampai lelaki tidak lagi memberikan perhatian dan tidak mengambil peduli.

Membebel lelaki biasanya tanda sayang.”

Abang Ahmad Khadzrin, 27

“BAIK lelaki mahupun wanita, dua-dua memang suka membebel. Bezanya mungkin lelaki hanya akan berleter terhadap sesuatu yang penting khususnya berkaitan kerjaya, wang ringgit dan masa depan. Sedangkan wanita cenderung memberi pandangan yang mungkin dianggap remeh dan sensitif terhadap segala hal.

Ini termasuklah seperti penampilan seseorang, keadaan sekeliling, kejadian tertentu hinggalah topik semasa yang dirasakan tidak memberi manfaat kepada diri sendiri.

Namun, bagi saya tidak semua wanita cerewet. Tepuk dada tanya selera!”

Abdul Karim Kamal Shah, 18

“DARIPADA pemerhatian saya, boleh dikatakan yang wanita lebih cenderung membebel. Mereka suka bercakap dan ia secara tidak langsung membentuk sikap yang suka mempersoalkan itu dan ini.

Sedangkan lelaki jarang mengambil peduli soal yang dianggap remeh. Biasanya, lelaki lebih mengambil sikap tunggu dan lihat berbanding wanita.”

Maziah Mohamed, 27

“BIASANYA perempuan lebih suka berkata-kata kerana bimbangkan sesuatu perkara itu dan minta ia diatasi segera. Berbeza pula bagi lelaki yang bagi saya lebih suka berdiam diri daripada mencari penyelesaian. Lelaki mungkin lebih suka berfikir untuk mendapatkan kepastian.

Sedangkan perempuan jika kita lihat lebih bertujuan meluahkan perasaan dan berkongsi masalah. Kesimpulannya, wanita berkata-kata kerana prihatin.”

Roziani Mohamad Rozi, 26

“SEMESTINYA lelaki sebab kalau perempuan bersalah pasti dia ingat sampai bila-bila. Sudahlah itu, pasti dia akan mengambil kesempatan untuk mengungkit masalah itu lama-lama.

Bagi saya, ia perlulah kontra dan tidak keterlaluan. Saya sendiri jenis yang tidak mengambil kisah sangat, tidak tahulah bagaimana wanita lain mengendalikan masalah begini.”

Ariza Mohamed Saleh, 26

“TIADA yang lebih, tiada yang kurang, bagi saya lelaki dan perempuan sama-sama suka membebel. Ini ditambah lagi apabila berdepan dengan sesuatu situasi yang memerlukan masalah diselesai segera. Lelaki mungkin dengan cara mereka, wanita tidak terkecuali.

Mungkin bagi lelaki, wanita yang lebih beremosi, sedangkan wanita juga tidak terlepas andai berdepan dengan lelaki yang tidak kurang hebatnya dalam soal berhujah… Masing-masing sama sajalah.”





This entry was posted in Gelagat Manusia and tagged , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

CommentLuv badge