KUALA LUMPUR: Ghairah melihat seorang eksekutif wanita yang berperwatakan menarik, seorang lelaki bertindak luar dugaan apabila secara tiba-tiba menunjukkan alat sulitnya kepada wanita terbabit di sebuah restoran makanan segera di Jalan Genting Klang, di sini.
Akibat jijik dengan perlakuan lelaki gila seks itu, wanita berusia 20-an berkenaan terpaksa melarikan diri keluar dari restoran makanan segera berkenaan.
Menurut sumber, wanita yang bekerja sebagai eksekutif perniagaan di sebuah syarikat swasta di ibu kota dikatakan dihubungi seorang lelaki yang kononnya berminat menjalankan perniagaan.
“Mangsa yang menyangka pelanggannya itu berminat kemudian berjanji untuk berjumpa di sebuah restoran makanan segera bagi berbincang lanjut mengenai perniagaan kira-kira jam 10 pagi Selasa lalu,” katanya di sini, semalam.
Sumber itu berkata, pada mulanya, perbincangan antara mereka berlangsung dalam suasana serius dan lelaki terbabit seolah-olah berminat dalam bidang perniagaan yang dicadangkan mangsa.
“Bagaimanapun, secara tiba-tiba perbincangan itu bertukar apabila lelaki berkenaan mula mengeluarkan kata-kata berbaur lucah berulang kali terhadap mangsa,” katanya.
Eksekutif wanita berkenaan yang tidak selesa dengan perkataan lucah dikeluarkan lelaki terbabit dikatakan cuba mengelakkan diri dengan hanya berdiam diri.
Menurut sumber, lelaki itu kemudian memberikan kad perniagaan kepada mangsa sebelum bertindak menunjukkan alat sulitnya dari bawah meja menyebabkan mangsa terkejut dan terus keluar dari restoran itu.
Mangsa kemudian membuat laporan polis.
-Hmetro