Murid HAMBA SEKS dakwa diupah RM5
KUANTAN: Seorang murid perempuan berusia 11 tahun dan adik lelakinya bukan saja didera oleh ibu tiri mereka, tetapi mangsa dipaksa menjadi hamba seks seorang lelaki sejak setahun lalu dengan upah antara RM5 hingga RM10.
Mangsa dari Jalan Gambang, di sini, mendakwa dirogol banyak kali dalam kereta oleh seorang lelaki berusia 30-an yang akan mengambil mangsa sebaik pulang dari sekolah sebelum membawanya ke bawah jambatan di kawasan sunyi.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Zulkifli Taha, berkata mangsa mendakwa diberikan wang selepas dirogol lelaki terbabit sebelum wang itu diambil ibu tirinya.
Bagaimanapun, penderitaan mangsa dan adik lelaki berusia sembilan tahun yang didera di seluruh badan, termasuk digigit di bahu sejak empat tahun lalu, berakhir apabila seorang jiran membuat laporan polis, kelmarin.
Zulkifli berkata, seorang suri rumah membuat laporan selepas budak lelaki terbabit menangis teresak-esak kira-kira jam 7 pagi kelmarin ketika hendak pergi ke sekolahnya sebelum datang kepada wanita berkenaan dan memaklumkan dipukul ibu tirinya dengan kayu di lengannya.
“Siasatan awal mendapati, mangsa mendakwa dipukul dan didera oleh ibu tirinya dan pemeriksaan menemui beberapa kesan gigitan serta lebam pada lengan, tangan dan kaki kedua-dua mangsa.
“Selain itu, kanak-kanak perempuan itu turut mendakwa dirogol beberapa kali oleh seorang lelaki yang dikenalinya dipercayai tinggal di kawasan berhampiran,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Zulkifli berkata, susulan laporan berkenaan, ibu tiri dan bapa mangsa berusia 35 tahun yang bekerja di sebuah kilang di Pelabuhan Kuantan ditahan di rumah mereka kira-kira jam 8 malam kelmarin bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, bapa mangsa berkahwin semula lima tahun lalu selepas bercerai dengan ibu kandung mangsa yang dipercayai kini menetap di Jertih, Terengganu.
“Dua beradik terbabit dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, untuk rawatan lanjut berikutan kecederaan akibat penderaan fizikal dan kini diletakkan di bawah pengawasan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri.
“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 31(1)A Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan kedua-dua suspek direman enam hari bermula semalam,” katanya.
-bharian






