![]() MARSINAH terpaksa melacur sejak enam bulan lalu, selepas dibawa seorang ‘bapa ayam’ yang menawarkannya pekerjaan sebagai pembantu kedai. |
Dijanjikan pekerjaan sebagai pembantu kedai tetapi jadi pelacur
LIMBANG: Siapa sangka di sebalik kesibukan orang ramai lalu lalang berdekatan lima lorong tangga di deretan rumah kedai di tengah bandar ini ada ‘ayam sangkar’ yang ‘dijual’ pada harga RM30.
“Kami perlu sentiasa berada dalam sangkar, tidak dibenarkan keluar ke mana-mana. Cuma RM30 je bang,” kata Marsinah, 23, yang menjaja tubuh di bandar ini sejak enam bulan lalu, selepas dibawa seorang ‘bapa ayam’ yang menawarkannya pekerjaan sebagai pembantu kedai.
Dianggarkan lebih 10 pelacur warga asing yang dikenali sebagai ‘ayam sangkar’ menunggu pelanggan di lima lorong tangga deretan rumah kedai berkenaan setiap hari.
Mereka ini beroperasi secara terbuka dan tanpa segan silu akan memanggil siapa saja yang lalu lalang di kawasan berkenaan untuk melanggani mereka.
Mereka yang berselindung di sebalik pagar besi ini terkenal dengan jolokan ‘ayam sangkar’ oleh penduduk tempatan kerana ditempatkan di sebalik sangkar pagar jeriji besi, dengan tidak dibenarkan keluar dari kawasan tangga jika diajak pelanggan ke tempat lain.
Sebaliknya pelanggan yang perlu masuk ke dalam sangkar dan terus ke bilik yang disediakan untuk mendapatkan khidmat mereka dengan kos RM30 saja.
Marsinah yang berasal dari Surabaya, Indonesia, berkata seorang lelaki tempatan ‘menjaga’ mereka dengan bayaran yang diterima bergantung kepada jumlah pelanggan, namun ia harus ditolak duit sewa bilik dan makanan.
Dia yang mendakwa mampu melayan lebih 10 pelanggan setiap hari mengakui boleh meraih pendapatan bersih sekitar RM150 sehari dengan tugasnya bermula seawal jam 9 pagi hingga 7 petang.
“Pada mulanya saya ditawarkan bekerja sebagai pembantu kedai, bagaimanapun tiba-tiba dipaksa menjual tubuh tetapi apabila menyedari kerjanya lebih mudah, saya rela diperdagangkan orang tengah.
“Kerja ini agak mudah kerana kami hanya perlu menunggu pelanggan saja, tetapi ia membosankan kerana ada waktunya tidak ada pelanggan yang mencari kami seperti pada bulan puasa.
“Disebabkan itu ada ketikanya kami terpaksa memujuk orang ramai yang lalu lalang di kedai berdekatan untuk singgah ‘berehat’ sebentar bersama kami,” katanya dengan manja.
Marsinah berkata, dia diajar sekiranya diserbu pihak berkuasa, semua mereka hanya perlu lari masuk ke bilik masing-masing dan mengaku menyewa bilik di bahagian atas rumah kedai, jika disoal.
“Namun selama enam bulan di sini saya tidak pernah ditahan pihak polis, malah berasa lebih selamat di sini, kerana tiada siapa mengganggu kami berbanding di tempat lain walaupun ‘berniaga’ di tempat terbuka.
“Selain saya, ada juga ‘ayam sangkar’ yang berasal dari Pontianak, Sambas dan Bali ‘berniaga’ di sini.
“Kami semua mempunyai pasport dan dokumen perjalanan sah ketika memasuki negara ini.
“Kontrak saya di sini akan tamat dalam enam bulan lagi dengan saya berharap dapat pulang ke kampung di Surabaya seketika sebelum berfikir apa yang mahu dilakukan selepas ini,” katanya yang mengaku mula menjadi pelacur ketika berusia 19 tahun.
Tinjauan Berita Harian di kawasan deretan kedai berdekatan pejabat sebuah agensi penguatkuasaan jalan raya di sini, mendapati orang ramai seperti tidak menghiraukan kehadiran ‘ayam sangkar’ berkenaan, malah boleh terus membeli-belah walaupun dipanggil.
Ada kedai membaiki motosikal, restoran, kedai serbaneka, alat elektrik dan telefon bimbit di lokasi ‘ayam sangkar’ berkenaan dan orang ramai pula tidak putus-putus mengunjungi kawasan kedai berkenaan untuk pelbagai urusan masing-masing.
Seorang peniaga ikan di Pasar Tamu Limbang, Ahmad Marzuki Abdullah, 41, berkata kehadiran pelacur murahan atau ayam sangkar sejak 2006 di bandar ini hanya mencemarkan imej Limbang yang majoritinya didiami masyarakat Melayu Brunei beragama Islam.
“Saya sendiri berasa malu kerana pernah cuba digoda ayam sangkar’ ketika berkunjung ke kedai elektrik di lokasi berkenaan bersama isteri. Syukur mereka tidak bersikap terlalu agresif.
“Apa yang dirisaukan adalah anak muda yang tidak mampu menahan godaan akan bertindak berani melanggan pelacur ini.
“Oleh itu, saya merayu pihak berkuasa supaya menangani segera masalah ini,” katanya.
Difahamkan, lokasi ayam sangkar berkenaan beberapa kali diserbu pihak polis, bagaimanapun selepas dua atau tiga minggu serbuan dan tangkapan dibuat, kegiatan itu kembali beroperasi dengan wajah baru.
-bharian
