Sekolah larang murid bercinta, bercumbu

ADELAIDE: Sebuah sekolah rendah di Australia melarang pasangan di kalangan muridnya berpelukan dan membuat sebarang bentuk luahan kasih sayang bagi menunjukkan contoh yang baik kepada pelajar lebih muda, kata pengetuanya semalam.

Pengetua Sekolah Rendah Largs Bay di bandar selatan di sini, Julie Gale, mengingatkan muridnya supaya menghindar “kelakuan tidak wajar” antara teman lelaki dan wanita ketika penggal baru persekolahan dibuka minggu lalu.

“Kami menetapkan standard kelakuan kepada murid Tahun Enam dan Tujuh yang dilihat sebagai contoh oleh murid lebih muda,” kata Gale dalam kenyataan menerusi e-mel kepada The Associated Press, merujuk kepada pelajar paling tua di sekolah yang berusia 11 hingga 13 tahun.

Beliau berkata berpelukan antara rakan tidak dilarang “namun kami tidak menggalakkan luahan kasih sayang di pekarangan sekolah di kalangan pelajar yang memiliki teman lelaki atau wanita di sekolah.”

Larangan berpelukan itu menyerupai sekatan dibuat sesetengah sekolah di Amerika Syarikat yang turut melarang bercumbu dan luahan kasih sayang fizikal dalam cubaan menghalang insiden meraba atau kecederaan dan mengekalkan suasana serius pembelajaran.

Larangan Largs Bay itu mendapat perhatian umum selepas beberapa ibu bapa menghubungi akhbar tempatan untuk mengadu bahawa dasar itu terlalu tegas. Gale berkata beliau tidak dihubungi mana-mana ibu bapa membantah dasar itu.

Denda akibat melanggar larangan itu masih tidak jelas.

Steve Portlock dari Persatuan Pengetua Sekolah Rendah Australia Selatan berkata, dasar itu adalah ‘naluri semula jadi.’ -AP

-bharian