Jom kita hayati satu surat pembaca yang menarik mengenai sikap sesetengah masyarakat kita ketika menghadiri majlis rumah terbuka :-
BARU-baru ini saya menghadiri rumah terbuka Aidilfitri anjuran pertubuhan bukan kerajaan di Kuala Lumpur. Oleh kerana majlis ini terbuka kepada orang ramai, saya saksikan kehadiran masyarakat pelbagai peringkat, kaum dan agama dengan semangat 1Malaysia .
Saya ingin berkongsi pengalaman mengenai realiti sikap sesetengah masyarakat ketika menghadiri majlis seperti ini. Disebabkan saya hadir pada waktu puncak, pelbagai aksi dan ragam yang tidak sepatutnya dapat saya perhatikan antaranya;
l Berebut ambil makanan sehingga ada kuih-muih terjatuh dari meja hidangan.
l Ada tetamu tanpa segan silu membungkus makanan sama ada dalam beg plastik yang dibawa, malah ada juga dengan selamba memasukkan ke dalam poket seluar.
l Sikap tamak ketika mengambil makanan tanpa memikirkan tetamu kemudian, akibatnya banyak makanan yang terbuang begitu saja.
l Sudahlah makan percuma, sesetengah tetamu membiarkan pinggan dan cawan walaupun penganjur menyediakan tong sampah.
Keadaan ini berlaku kerana jamuan berkonsep ‘layan diri’. Saya malu kerana majlis turut dihadiri pelancong yang dapat menyaksikan semua kerenah itu.
Saya bertanya kepada diri, di manakah nilai murni yang dipelajari di sekolah dulu atau sekurang-kurangnya didikan agama tidak kira apa bangsa sekalipun pasti menyuruh penganutnya berbuat baik, bersopan santun dan berakhlak mulia.
Bukanlah niat saya untuk mencari kesalahan orang lain, sebaliknya berharap sikap negatif seperti ini diubah supaya tidak menjadi budaya masyarakat. Tunjuk contoh baik kepada anak kecil dan orang luar yang kita penuh adab sopan dalam apa keadaan sekalipun.
Kesimpulan daripada peristiwa itu adalah ‘tidak mungkin hasrat kepemimpinan negara untuk melahirkan negara maju dan rakyat berminda kelas pertama terlaksana jika sikap dan mentaliti rakyatnya masih rendah dan memualkan.’
ANTIBUNGKUS,
Kuala Lumpur.
-bharian