Tokyo kota masakan terhebat dunia

du 03.1 Tokyo kota masakan terhebat dunia


du 03.2 Tokyo kota masakan terhebat dunia

SEORANG kanak-kanak berdiri di hadapan papan tanda gergasi sebuah restoran di Tokyo baru-baru ini.



DUA pelanggan berdiri di hadapan sebuah restoran Jepun ketika waktu makan tengah hari di Tokyo baru-baru ini.JIKA anda memiliki kuasa membeli tidak terbatas dan bercita rasa mewah dalam pemilihan makanan, anda mungkin memilih Paris yang memiliki rangkaian restoran mewah terbaik dunia.

Namun, baru-baru ini, Tokyo dikatakan memintas Paris sebagai bandar raya yang menawarkan banyak hidangan hebat oleh agensi penarafan berprestij, Michelin Guide.

Michelin Guide ialah sebuah buku panduan tahunan yang diterbitkan firma Michelin dari Perancis dan ia telah memberi penarafan kepada restoran di lebih 10 buah negara setakat ini.

Restoran yang disifatkan sebagai terbaik layak menerima tiga bintang Michelin iaitu penarafan tertinggi buku panduan tersebut.

Apabila edisi Tokyo diterbitkan buat kali pertama, Michelin Guide memberikan penuh pujian tak ubah seperti sidang media percuma untuk Persatuan Restoran Jepun.

Tanpa berbelah bahagi, buku panduan itu telah memutuskan bahawa Tokyo layak bergelar ibu kota hidangan hebat dunia.

“Tokyo bagaikan sebutir bintang bergemerlapan dalam dunia masakan,” kata Pengarah Michelin Guide, Jean-Luc Naret selepas buku edisi Tokyo dilancarkan pada November tahun lalu.

“Kami mendapati restoran-restoran di bandar raya itu cemerlang kerana menggunakan ramuan terbaik, memiliki kepakaran penyediaan makanan dan masakan turun-temurun yang dipertingkatkan oleh chef-chef masa kini,” tambahnya.

Buku panduan edisi Tokyo memberikan 191 bintang kepada 150 buah restoran di ibu negara Jepun itu sekali gus jumlah bintang terbanyak pernah diberikan sesebuah bandar raya.

Sebelum ini, status bandar raya memiliki bintang Michelin terbanyak menjadi milik Paris dengan 65 bintang.

Sebanyak lapan restoran di Tokyo, tiga restoran makanan Perancis, dua bar sushi dan tiga restoran hidangan tradisional Jepun masing-masing dianugerahkan tiga bintang Michelin.

Namun, Paris kekal sebagai bandar raya paling banyak memiliki restoran terbaik di dunia dengan 10 buah restoran.

Pengumuman Michelin Guide kali ini umpama durian runtuh untuk Jepun yang sudah bertahun-tahun berusaha keras meningkatkan industri pelancongan negara itu.

Sebelum ini, sektor tersebut terbantut disebabkan kos barangan dan perkhidmatan yang tinggi di Jepun serta saingan sengit dari lokasi-lokasi lain di Asia seperti Hong Kong dan Thailand.

Bagaimanapun, penarafan tinggi Michelin itu dipertikaikan terutamanya oleh agensi-agensi penarafan berprestij lain dalam kategori sama.

“Sebagai contoh mengapa begitu banyak restoran makanan Perancis berada di tangga teratas Michelin Guide edisi Tokyo? Mengapa tiada satu pun restoran masakan Cina atau Itali yang tersenarai?” soal pengasas buku panduan Zagat, Tim Zagat.

“Terdapat banyak bandar raya hebat dalam dunia. Tokyo adalah tempat makan yang menarik. Namun, Paris juga demikian. Begitu juga Rome,” tambahnya.

Persoalan yang timbul, kata Zagat, adalah sama ada Tokyo benar-benar lebih baik daripada bandar raya-bandar raya lain seperti yang didakwa.

“Saya berpendapat kenyataan seperti itu langsung tidak membantu. Tokyo memiliki makanan Jepun terbaik di dunia tetapi ia tidak menawarkan kepelbagaian hidangan seperti bandar raya-bandar raya terkenal yang lain,” jelasnya.

Pengarang majalah Tokyo Ii Mise, Umai Mise yang menerbitkan bahan berkenaan restoran hebat di Jepun, Yasuo Terui turut mempertikai senarai restoran yang diterbitkan Michelin Guide.

Jelas beliau, buku panduan itu hanya melibatkan segelintir restoran di Tokyo tanpa liputan menyeluruh.

“Saya tidak fikir Michelin tahu apa-apa tentang Jepun,” katanya sinis.

Bagaimanapun, pada masa yang sama, beliau bersetuju gelaran ibu kota masakan hebat dunia yang diberikan kepada Tokyo adalah bertepatan.

“Saya fikir bandar raya ini layak mendapat gelaran tersebut. Jika anda mencuba mana-mana hidangan, adalah sukar untuk tidak menyukai hidangan tersebut di Tokyo,” ujarnya. – AP

-kosmo

This entry was posted in Ragam Dunia and tagged , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

CommentLuv badge