RIO DE JANEIRO: Kecenderungan meluas lelaki tempatan memilik wanita beberapa dekad lebih muda sebagai isteri – digelar sebagai ‘kesan Viagra’ – kini mengganggu sistem pencen Brazil.
Berdasarkan laporan Institut Keselamatan Sosial Kebangsaan (INSS), ramai lelaki berusia 60-an memilih wanita dua kali ganda lebih muda menyebabkan dana pencen perlu diperuntukkan lebih banyak berbanding sepatutnya.
“Sistem keselamatan sosial Brazil dirangka supaya seseorang wanita menerima pencen suami untuk tempoh kira-kira 15 tahun.
“Disebabkan jangkaan tempoh hayat lebih lama dan lelaki berkahwin semula dengan wanita lebih muda, faedah pencen kini menjangkau lebih 35 tahun,” kata penulis laporan itu, Paulo Tafner, semalam.
Menurut Tafner, fenomena lelaki beristeri muda biasanya digelar ‘kesan Viagra’.
Bagaimanapun, katanya, trend itu bermula sejak 1970-an lagi – lama sebelum pil penguat tenaga batin itu diperkenalkan pada 1990-an.
Menurut INSS, dua daripada tiga lelaki yang berpisah, memilih berkahwin semula, manakala hanya seorang daripada tiga wanita bercerai, berjaya menemui suami baru.
Di kalangan duda, 64 peratus kalangan mereka yang berusia lebih 50 tahun memilih wanita lebih muda sebagai pasangan.
Bagi duda berusia di antara 60 dan 54 tahun, kadar perkahwinan semula dengan wanita muda adalah 69 peratus. – AFP
-HMETRO