
LONDON – Seorang graduan, Laura Coleman meneruskan tradisi keluarganya apabila dia diumumkan sebagai pemenang pertandingan Ratu Cantik England pada Jumaat lalu, lapor sebuah akhbar semalam.
Nenek Laura, Irene Patrick pernah memenangi satu pertandingan ratu cantik yang dianjurkan oleh pihak tentera manakala ibunya, Dena Coleman pula merupakan peserta akhir pertandingan Ratu Cantik United Kingdom (UK).
Laura, 22, yang juga Ratu Cantik Derby berjaya mengalahkan 49 peserta untuk memenangi gelaran itu dan memperoleh wang tunai berjumlah £5,000 (RM32,448).
“Ia merupakan satu tradisi keluarga kerana ibu dan nenek saya merupakan pemenang ratu cantik. Saya sangat gembira kerana membuatkan mereka berasa bangga,” katanya.
Dena, 56, merupakan peserta akhir Ratu Cantik UK pada 1975 dan pernah memenangi sebanyak 15 gelaran sepanjang kariernya termasuklah Ratu Cantik Coventry dan East Anglia.
Irene, 85, pula juga pernah memenangi gelaran Ratu Cantik Lovely Legs pada tahun 1940-an dan juga pertandingan ratu cantik yang dianjurkan oleh pihak tentera. – Agensi