ATHENS: Pihak berkuasa Greece menangkap empat polis didakwa terbabit menyeludup masuk ratusan wanita Eropah Timur untuk dijadikan pelacur di negara itu, semalam.
“Tangkapan ini adalah yang terbesar dalam tempoh 15 tahun,” kata seorang pegawai polis.
Seorang pesara polis turut ditangkap dalam operasi itu.
“Kelima-lima yang tertangkap adalah perancang sindiket penyeludupan itu,” kata pegawai itu lagi yang dirahsiakan identitinya.
Sindiket itu didakwa bertanggungjawab menyeludup masuk kira-kira 300 wanita ke kelab malam Athens sejak beberapa bulan lalu.
Sementara itu, dalam satu operasi berasingan, seorang polis ditahan kerana terbabit dalam penyeludupan manusia dan pengedaran dadah.
Greece berdepan tekanan daripada masyarakat antarabangsa untuk memerangi penyeludupan manusia.
Laporan kerajaan Amerika Syarikat yang disiar bulan lalu menggesa pihak berkuasa Greece supaya menjatuhkan hukuman lebih berat terhadap pesalah.
Laporan itu turut mendakwa ramai pegawai kerajaan dan polis terbabit dalam sindiket penyeludupan itu.
Tahun lalu, 21 hukuman dijatuhkan. Bagaimanapun, ramai dibebas sementara menunggu rayuan. – Reuters
-hmetro