RIYADH: ‘Henti merokok, kami akan membiayai perkahwinan anda’, demikian menurut slogan bertujuan menarik perhatian bakal pengantin muda supaya berhenti merokok, dengan menawarkan insentif istimewa.
Tidak syak lagi, beratus-ratus orang sudah pun menyatakan minat terhadap kempen antimerokok pertama di Arab Saudi yang menawarkan hadiah berkenaan.
Seorang lelaki berkata beliau bersedia berhenti merokok agar dapat melayakkan diri bagi memenangi hadiah utama – iaitu majlis perkahwinan yang dibiayai sepenuhnya.
Di negara Arab, pengantin lelaki terpaksa menanggung semua kos ketika berkahwin, termasuk majlis yang memerlukan perbelanjaan besar, wang hantaran dan sebuah rumah yang lengkap dengan perkakas.
Perbelanjaan besar itu kadangkala menyebabkan ramai lelaki terpaksa menangguhkan perkahwinan sehingga mempunyai wang men-cukupi.
Beberapa pihak mengadu kempen berkenaan menjadikan wanita seperti barangan, tapi pihak penganjurnya tidak bersetuju dan menyatakan ramai yang tampil untuk bercakap mengenai bahaya merokok. Kira-kira satu perempat daripada jumlah penduduk Arab Saudi seramai 27.6 juta orang tidak menghalang kempen berkenaan.
Sejak 20 Jun lalu, terdapat banting yang direntangkan di jejambat dan jambatan di lebuh raya utama di ibu negara Arab Saudi ini, yang memaparkan slogan kempen ini. Kempen berkenaan juga diiklankan di kompleks beli-belah, universiti dan majalah.
Cabutan yang akan diadakan pada 6 Ogos depan meliputi nama mereka yang berjaya berhenti merokok selepas mengambil bahagian dalam satu kursus selama seminggu. Pemenangnya akan dibiayai majlis perkahwinannya sementara 20 orang pemenang sagu hati akan mendapat perabot percuma.
Sulaiman al-Soby, setiausaha agung pertubuhan yang menjadi penganjurnya, Purity, berkata tujuannya adalah bagi mewujudkan keluarga yang bebas merokok. Kira-kira satu pertiga kanak-kanak sekolah tinggal di rumah dengan perokok, menurut kaji selidik kesihatan 2007.
Al-Soby menjangka beribu-ribu orang akan menyertai kempen itu, yang hanya diadakan di Riyadh, sebuah kota dengan lima juta penduduk.
Ali al-Abdullah, yang berasal dari Yaman, berkata dia tidak akan cuba berhenti merokok tanpa insentif berkenaan. Lelaki 22 tahun itu, yang sudah bertunang dengan sepupunya, menghisap satu setengah kotak rokok sehari, dan “dua kotak bila saya ada masalah.” – AP
-bharian