MOGADISHU: Sebuah mahkamah semalam memotong sebelah kaki dan tangan empat lelaki di khalayak ramai selepas didapati bersalah mencuri telefon dan pistol.
Mahkamah Syariah yang menjalankan hukuman itu ditadbir oleh kumpulan al-Shabab yang berusaha untuk menggulingkan kerajaan Somalia yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
“Lelaki terbabit meraung apabila tangan dan kaki mereka dipotong dengan pisau panjang,” kata saksi, Liban Ali.
Keempat-empat lelaki itu didapati bersalah dalam perbicaraan awal di Mogadishu awal minggu ini.
Wartawan tidak dibenarkan membuat liputan ketika hukuman itu dilaksanakan.
Amerika Syarikat menganggap al-Shabab kumpulan pengganas yang ada hubungan dengan al-Qaeda. Bagaimanapun, ia menafikannya.
Kumpulan itu yang menguasai sebahagian besar Somalia didakwa mempunyai ramai pejuang asing.
Secara tradisinya penduduk Somalia mengamalkan Islam sederhana.
Bagaimanapun, sejak beberapa tahun kebelakangan, kumpulan militan mula mengikuti fahaman Wahabi yang berasal dari Arab Saudi dan menjadi ikutan pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden dan kumpulan Taliban. – Reuters
-Hmetro