LONDON: Hasil penyelidikan mendapati wanita berasa paling yakin dan gembira dengan kehidupan cinta serta bentuk tubuh mereka pada usia 28 tahun.
Ia juga tempoh mereka menikmati hubungan seks paling baik dalam hidup tetapi kegembiraan tidak kekal lama kerana sebaik memasuki usia 30 tahun, wanita mula bimbang menjadi tua dan tumbuh uban serta kemunculan kedut.
Jurucakap bagi jenama pewarna rambut, Clairol Perfect 10, yang melakukan kajian ke atas 4,000 wanita, berkata: “Segala-galanya dalam hidup mencapai kemuncak pada satu masa, menghampiri usia 30-an tidak terlalu teruk sebenarnya.
“Usia 28 tahun dikenal pasti sebagai masa dalam kehidupan seorang wanita yang rambut mereka kelihatan paling cantik, bentuk tubuh menawan dan keyakinan berada pada paras tertinggi.
“Memiliki kerja, pendapatan mencukupi, menjalin hubungan dan persahabatan yang kukuh membantu mencipta saat paling sempurna dalam kehidupan apabila semuanya bersatu.”
Beliau berkata, mencecah dan melepasi usia 20-an tidak lagi mencetuskan kebimbangan mengenai penampilan dan keyakinan diri.
Tinjauan ke atas wanita berusia antara 25 dan 65 tahun mencatatkan pada usia berapa wanita paling selesa dalam 12 cabang utama kehidupan mereka.
Hasilnya, wanita paling gembira dalam karier pada usia 29 tahun dan paling berpuas hati dengan hubungan cinta setahun kemudian pada usia 30 walaupun menikmati hubungan seks paling baik pada usia 28 tahun.
Bagaimanapun, wanita paling berpuas hati dengan kedudukan kewangan pada usia 33 dan senang dengan rumah dan kehidupan berkeluarga pada usia 32 tahun.
Penyelidikan mendapati dua pertiga daripada wanita berasa lebih menjadi tua lebih cepat berbanding lelaki. – Agensi
-bharian