
KEMAMAN – Dengan bayaran RM300 hingga RM500, beberapa gadis muda di sini sanggup mengikut dan menjadi teman sosial kepada pemandu lori ke destinasi seluruh negara.Bayaran itu dikenakan kepada pemandu lori bagi satu perjalanan pergi balik dari Kemaman ke mana-mana destinasi luar pantai Timur termasuk ke Lembah Klang.
Kosmo! dimaklumkan kadar bayaran itu juga bagaimanapun bergantung kepada jarak perjalanan dan tempoh masa mereka ‘berkhidmat’ kepada pemandu lori.
Selain wang tunai, syarat yang dikenakan gadis itu kepada pemandu lori ialah kredit telefon RM30 hingga RM50, makan, dan minum sepanjang perjalanan.
Bagaimanapun mereka tidak bersedia bermalam di hotel atau rumah penginapan kerana tidak mahu ditangkap pihak berkuasa agama.
Sebaliknya, mereka sanggup tidur dengan pemandu lori dalam kenderaan itu dan memberi perkhidmatan ketika lori berhenti di tepi jalan.
Mereka yang digelar sebagai ‘minah transit’, berusia awal 20-an dan kebanyakannya berhenti sekolah seawal usia 15 tahun.
Kosmo! yang mendapat maklumat kegiatan itu kira-kira empat bulan lalu berjaya menjejak seorang daripada gadis berkenaan baru-baru ini.
Dalam pertemuan di pinggir bandar Chukai, di sini, gadis yang membahasakan dirinya sebagai Nurul dan berusia 24 tahun itu mengakui sudah lima bulan menjadi minah transit.
“Kalau ke Pasir Gudang (Johor), ke Pelabuhan Klang (Selangor), dan ke ‘Penang Port’ (Pulau Pinang), kami mintak bayaran RM500.
“Memang patut bayaran tu sebab kami kena buang masa tiga hari dua malam jadi teman abang-abang lori dan tak dapat tidur lena.
“Macam-macam kami kena buat, bukan setakat jadi teman mereka makan dan bersembang sepanjang perjalanan,” katanya.
Nurul yang bukan berasal dari daerah ini memberitahu, dalam sebulan dia memperoleh empat hingga enam perjalanan lengkap dan tidak mahu ‘bekerja lebih’ daripada jumlah itu.
Katanya, dia dan rakan-rakannya juga bekerja sambilan di kedai-kedai makan dan menjadi pembantu jualan di pasar malam.
Mengenai risiko ‘pekerjaan’ itu, Nurul berkata, dia pernah menerima panggilan telefon beberapa wanita yang dipercayai isteri pemandu lori yang diikutnya.
Ketika ditanya mengapa memilih kehidupan seperti itu, dia mengaku hanya mahu berseronok.