Bank pekerja SEKS

Sangini, perkhidmatan perbankan yang diwujudkan untuk golongan pelacur di Mumbai, India mempunyai fungsi yang sama dengan bank.

ru 04.1 Bank pekerja SEKS

 


Berbekalkan sampul surat deposit dan pen, Akkatai langsung tidak menghiraukan pandangan beberapa lelaki yang sedang sibuk mencari perkhidmatan seks di daerah pelacuran yang juga terletak di pusat kewangan di Mumbai, India.

Fikiran Akkatai fokus kepada tugasan lebih penting iaitu mengutip wang simpanan daripada pelacur-pelacur yang tergesa-gesa menghulurkan gumpalan wang kertas rupee kepadanya.

Dia mengambil wang tersebut, mencatat sesuatu pada buku deposit yang dipegang oleh pelacur itu, sebelum meneruskan ‘perjalanannya’ ke 294 buah bilik tidur yang dilawatinya setiap hari di Kamathipura, kawasan pelacuran tertua di bandar raya yang dihuni oleh 18 juta orang.

“Sesetengah wanita ini berjaga sepanjang malam. Mereka kata, adalah lebih baik jika kami yang datang mengutip wang kerana mereka tidak boleh mendepositkan wang pada waktu siang,” jelas Akkatai, salah seorang pegawai yang bertanggungjawab mengutip wang bagi pihak Sangini atau Sahabat.

Sangini merupakan satu perkhidmatan perbankan yang diwujudkan untuk golongan pelacur.

Dieksploitasi oleh bapa-bapa ayam dan peminjam wang haram, para pelacur di daerah rumah pelacuran terbesar di Asia itu sudah lama mengharapkan perkhidmatan bank yang membolehkan mereka menyimpan wang dengan selamat.

Doa mereka itu dimakbulkan oleh pihak Perkhidmatan Populasi Antarabangsa (PSI), sebuah badan tidak berasaskan keuntungan, berpengkalan di Washington yang memulakan projek Sangini sejak Julai lalu.

“Jika kami sakit, pelanggan tidak mahu melanggan kami. Sekiranya ada sedikit wang dalam bank, kami boleh menggunakan sekitar 10 hingga 20 rupee (RM0.90 hingga RM1.75) untuk membeli ubat,” kata Maya, pelacur yang mengetuai kumpulan kebebasan hak komuniti tersebut.

Wang kutipan itu dikumpul ke dalam akaun tunggal yang diberi faedah di State Bank of India. Akaun yang berada di bawah nama koperasi Sangini bertanggungjawab menguruskan setiap akaun pendepositnya.

Sangini, mempunyai fungsi sama dengan bank iaitu menguruskan transaksi keluar masuk wang yang dibuat oleh pemegang akaunnya.

ru 04.2 Bank pekerja SEKS

SALAH seorang pelacur menunggu giliran mengisi borang untuk mengeluarkan wangnya daripada bank Sangini.

 


Lebih 2,500 orang wanita yang kebanyakan buta huruf dan tidak dibenarkan untuk membuka akaun bank biasa, setakat ini telah mendepositkan sejumlah AS$160,000 (RM560,000) ke dalam Sangini.

“Sebilangan pelacur menyatakan bahawa ini adalah kali pertama mereka merasa memiliki wang sendiri,” kata pengurus kewangan PSI, Jiwan Prakash Saha.

Pada bulan Februari, Sangini mula menyediakan perkhidmatan pinjaman sehingga 15,000 rupees atau AS$350 (RM1,225).

Pengurus program PSI, Diane Cross memberitahu seorang wanita telah menggunakan wang pinjaman itu mengubahsuai rumah pelacurannya yang sangat uzur. Sementara seorang peminjam lagi membantu anaknya untuk membuka kedai DVD dan telefon bimbit.

Bank itu turut melebarkan perkhidmatannya ke dua lagi daerah lampu merah, dengan harapan untuk membantu lebih 100,000 orang wanita di sana.

“Sebelum ini, saya ada menyimpan wang dengan orang, tetapi dia tidak mengaku atau melarikannya,” kata Simla, pelacur dari Nepal.

Pelacuran diharamkan dalam masyarakat India yang konservatif. Ini membuatkan para pelacur sukar mengharapkan bantuan daripada pihak berkuasa.

Tetapi, keadaan mula berubah secara perlahan-lahan. Malah, pada tahun-tahun kebelakangan ini, pekerja seks lebih lantang menyuarakan permintaan terhadap hak-hak perundangan, lesen dan latihan pengambilan pekerja.

Namun begitu, kebanyakan pelacur yang tidak mempunyai kad identiti atau pendapatan yang sedikit perlu membuka akaun di bank komersial dan bergantung kepada orang lain seperti pekedai untuk menyimpan wang mereka. Biasanya mereka berdepan dengan risiko wang itu dicuri.

Sangini merupakan pemangkin kepada perubahan yang berjaya membuatkan kehidupan para pelacur di Mumbai ini sedikit mudah dan pastinya lebih normal.

Terima kasih kepada inisiatif PSI, Simla kini boleh masuk ke dalam pejabat kecil Sangini tanpa sebarang pengenalan diri kerana kakitangan Sangini menggunakan foto yang disimpan di dalam webcam. Ia lengkap dengan fail untuk tujuan kenal pasti dan Simla boleh menguruskan wangnya sendiri.

“Ia membuatkan hidup saya lebih mudah. Bank ini dekat dan kami boleh datang bila-bila masa,” katanya.

Menurut Simla, dia menyimpan wang untuk anak lelaki yang berusia tujuh tahun dan anak perempuannya berumur lima tahun. Simla menghantar anak perempuannya ke sekolah asrama untuk mengelakkan dia terdedah dengan gaya hidupnya.

“Hidup saya sudah dibazirkan, tetapi saya menyimpan duit supaya anak-anak boleh belajar dan melakukan sesuatu untuk hidup mereka,” kata Simla.

Di Kamathipura, pelacur memperoleh pendapatan kira-kira 70 rupee (RM6.30) bagi setiap pelanggan. Sebahagian wang itu digunakan untuk membayar katil yang boleh disewa untuk 10 rupee bagi seorang pelanggan.

“Pelacur yang bijak akan buat pengiraan. Mereka kira hutang dan memastikan pinjaman dibayar. Ada juga yang mampu keluar daripada kerja ini atau memperoleh banyak wang daripadanya,” kata Cross.

ru 04.3 Bank pekerja SEKS

DUIT simpanan ini memudahkan para pelacur merancang kehidupan mereka pada hari tua.

 


Duit simpanan boleh membantu memudahkan transisi buat mereka yang semakin berusia apabila menyedari pelanggan semakin kurang. Pelacur yang mempunyai wang akan pulang ke kampung untuk membeli tanah atau rumah yang boleh disewakan. – AFP

-arkibkosmo




This entry was posted in Ragam Dunia and tagged , , , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

CommentLuv badge