MALLIKA menimbang untuk mendirikan rumah tangga.
Aktres seksi Bollywood buat pengakuan di laman web Twitter
MUMBAI: Berita baik kepada semua lelaki bujang yang layak, seorang aktres yang dianggap paling mengghairahkan di Bollywood, Mallika Sherawat, sedang menimbang untuk mendirikan rumah tangga.
“Bercakap dengan penuh jujur. Saya tidak mahu lagi menunggu dan tiada lagi alasan memberi keutamaan kepada kerjaya,” kata Mallika menerusi laman webnya di Twitter.
Dengan manifesto yang bertulis, ‘berdiri untuk kebebasan bersuara, melakukan apa yang anda percaya dan mengikut impian anda,’ simbol seks itu akhirnya berterus terang dan mengakui ‘sudah bosan hidup sendirian.’
Beliau, bagaimanapun, turut meragui peluangnya bertemu ‘lelaki yang sesuai’ dengan berkata: “Di manakah saya akan bertemu seorang lelaki yang tidak merokok dan tidak makan daging?”
Aktres seksi itu berada di Los Angeles menghabiskan penggambaran filem lakonannya, Hiss, diarahkan Jennifer Lynch, teruja mengenai wataknya sebagai superwoman.
Beliau menambah dalam laman web itu bahawa Hiss bukan semata-mata kisah mengenai seseorang yang ada kuasa ajaib,
“Fikirkannya sebagai filem dikuasai golongan wanita. Jangan main-main dengan seorang hero wanita!”
Justeru jika Mallika melakonkan watak hero wanita, bilakah masanya untuk membuat hubungan dengannya, tanya satu laman web,
Sementara itu, aktres berkenaan juga boleh dianggap terlalu tergila-gilakan dirinya sendiri.
Aktres itu yang aktif menggunakan Twitter itu mengaku dalam laman itu bahawa ketagihan terbaru ialah menggunakan enjin carian Google untuk mencari maklumat dirinya.
Beliau menulis kata kunci ‘mallika + sherawat + twitter’ dalam enjin carian itu dan semuanya muncul mengenai dirinya untuk tatapannya sendiri.
Jika aktres panas Bollywood itu ketagihan berita mengenai dirinya, beliau sudah tentu bukan satu-satunya yang bertindak demikian. Tabiat itu amat meluas sehingga Wikipedia sebenarnya mempunyai gelaran untuk itu iaitu ego surfing.
Dr Deepak Raheja, pakar psikiatri dengan Yayasan Hope menerangkan fenomena itu dengan berkata: “Ia adalah kepuasan diri sendiri yang gila. Dengan membaca nama mereka berulang kali, mereka cuba memuaskan keinginan membuak-buak mereka sebagai ikon terkenal.” – Agensi
-bharian