LOS ANGELES: Selain kaya dan berbakat, Angelina Jolie juga terbukti memiliki pakej lengkap untuk menjadikannya selebriti paling berpengaruh dalam senarai disiapkan majalah Forbes, semalam.
Bagaimanapun, dapat dikatakan bahawa Angelina terhutang budi kepada sejumlah filem yang mendapat sambutan hangat di seluruh dunia, selain liputan meluas tanpa henti media kepadanya.
Keadaan itu membolehkan Angelina menyingkirkan hos program bual bicara, Oprah Winfrey, yang menduduki takhta 100 Selebriti Paling Berpengaruh edisi Forbes dua tahun berturut-turut sebelum ini.
Sepanjang 12 bulan lalu, Angelina meraih pendapatan RM94.2 juta hasil pembabitannya dalam filem animasi, Kung Fu Panda, Wanted dan lakonan terbarunya, Salt yang kini menunggu masa tayangan.
Pasangan Angelina, Brad Pitt, turut terkena tempias popularitinya apabila berita kelahiran anak kembar mereka membolehkan dia diletakkan pada kedudukan kesembilan senarai itu.
Bagi Oprah pula, penurunan kedudukan tidak bermakna pendapatannya terjejas.
Sepanjang tempoh sama, Oprah mengumpul kekayaan RM960.3 juta dan ia menjadikan pengacara The Oprah Winfrey Show itu sebagai selebriti berpendapatan tertinggi.
Nasib ternyata menyebelahi Oprah kerana kekayaan diperoleh ketika jumlah penonton rancangannya semakin menurun dari semasa ke semasa.
Selain menjana pendapatan melalui majalah, Oprah juga menjana pendapatannya melalui kontrak tiga tahun bernilai RM192 juta dengan XM Satellite Radio.
Ketika kebanyakan orang tertekan dengan krisis kewangan, pendapatan 100 selebriti yang disenaraikan kekal melambung tinggi dengan jumlah keseluruhan RM14.3 bilion berbanding RM13.9 bilion pada 2008.
Turut disenaraikan Forbes adalah Madonna di tempat ketiga, diikuti Beyonce Knowles dan pemain golf, Tiger Woods. – Agensi
-hmetro