TOKYO: Sebuah universiti berprestij Jepun mengedarkan beratus-ratus iPhone dilengkapi Sistem Pengesanan Global (GPS) bertujuan menjejaki pelajar yang ponteng kelas.
Mereka yang ponteng di Jepun sering kali memalsukan kehadiran dengan meminta rakan menjawab kehadiran atau menandatangani kad kedatangan. Penipuan berkenaan biasa dilakukan kerana kehadiran adalah satu syarat utama bagi menamatkan pengajian.
Aoyama Gakuin University di Tokyo memberikan iPhone 3G kepada 550 pelajarnya di School of Social Informatics yang mempelajari mengenai penggunaan internet dan teknologi komputer dalam masyarakat.
Alat berkenaan akan menjadi salah satu alat pengajian mereka tetapi ia dilengkapi dengan GPS, iaitu sistem pengesanan satelit yang secara automatik boleh menjejak di mana mereka berada. Universiti itu juga merancang menggunakannya sebagai cara untuk memeriksa kehadiran.
Pelajar yang ponteng kelas terbabit mungkin masih boleh memalsukan kehadiran dengan meminjamkan iPhone itu kepada rakan mereka yang menghadiri kelas.
Bagaimanapun kebanyakan golongan remaja tidak suka meminjamkan telefon bimbit mereka yang dipenuhi dengan maklumat peribadi dan e-mel kepada rakan mereka, kata universiti itu.
Di universiti Amerika Syarikat, iPhone digunakan untuk pelbagai kegunaan. University Stanford, pelajarnya membangunkan aplikasi iPhone untuk satu kursus, di Universiti Duke, alat itu digunakan untuk mendapatkan maklumat di sekitar kampus termasuk senarai kursus dan perkara lain.
Aoyama Gakuin menandatangani satu perjanjian awal bulan ini dengan Softbank Corp, vendor eksklusif bagi iPhone di Jepun.
Bilangan pelajar yang menggunakan iPhone dijangka mencecah 1,000 orang dalam program ini, pertama kali iPhone digunakan dalam skala yang besar di sebuah universiti di Jepun. ? AP
-bharian