| TAUKE MAJALAH LELAKI…Hefner sentiasa muncul dengan dikelilingi ramai wanita jelita dan seksi sejak Playboy diterbitkan pada 1950-an hingga kini. Gambar hitam putih, Hefner sewaktu muda. |
LONDON: Akhirnya, selepas 56 tahun pengasas Playboy, Hugh Hefner, akan berundur daripada industri majalah lucah itu dan menjual syarikat berkenaan pada harga lebih RM1.1 bilion.
Konglomerat Virgin disebut-sebut menjadi pembeli berpotensi untuk Playboy.
Walaupun Playboy menjadi kegilaan penuntut universiti pada 1970-an, edarannya merudum apabila bahan lucah lebih mudah diperoleh melalui Internet.
Awal bulan ini, Playboy mengumumkan kerugian RM47.7 juta untuk tempoh tiga bulan pertama tahun ini berbanding keuntungan RM14.4 juta pada tempoh sama tahun lalu.
Untuk menjimatkan kos, syarikat terbabit melakukan pelbagai tindakan, termasuk memberhentikan 25 peratus kakitangannya.
Walaupun kekal sebagai majalah lelaki terlaris di AS, penjualannya merosot kepada kira-kira tiga juta naskhah setiap keluaran berbanding tujuh juta pada 1972.
Laporan dari AS menyatakana, dua syarikat, Apollo Capital Partners dan Providence Equity Partners, ditawarkan menguasai Playboy, tetapi enggan membuat bidaan.
Virgin Media dilihat berpotensi memiliki Playboy tetapi tiada sebarang pengesahan dibuat mengenainya.
Harga jualan RM1.1 bilion itu didakwa mencukupi untuk Hefner mengekalkan gaya hidup mewahnya.
Sumber berkata, tiada siapa menyangka Hefner, 83, akan melepaskan penguasaannya ke atas Playboy.
“Semua membayangkan Hefner akan memiliki Playboy hingga mati,” katanya.
Ketika ini Hefner menguasai 70 peratus saham syarikat itu.
Pada Januari lalu, anak perempuan Hefner, Christine, berundur daripada jawatannya sebagai Ketua Pegawai Operasi Playboy dan secara rasmi memutuskan semua hubungannya dengan syarikat itu mulai minggu lalu.
- Agensi