SYDNEY – Aktres Hollywood, Cate Blanchett dan beberapa selebriti terkenal menyelar tindakan pihak polis Australia kerana mengarahkan penutupan satu pameran yang memaparkan foto kanak-kanak bogel di sini.
Sambil mempertahankan hasil seni Bill Henson, 52, yang dipamerkan di Galeri Roslyn Oxley, dia menyifatkan langkah pihak berkuasa sebagai menjejaskan reputasi standard seni dan kebudayaan tinggi Australia.
Namun polis New South Wales kelmarin menggugurkan dakwaan ke atas penganjur sebelum membenarkan pameran tersebut yang ditutup sejak 22 Mei lalu diteruskan semula biarpun mendapat bantahan keras masyarakat.
Jurucakap polis menjelaskan, mereka terpaksa beralah selepas mendapat pandangan daripada pengarah pendakwaan awam sebagai tiada alasan kukuh penutupan itu dan mengarahkan semua gambar disita dipulangkan.
Perdana Menteri, Kevin Rudd bagaimanapun dalam wawancara bersama stesen televisyen Nine Network membidas keputusan pejabat pendakwaan itu sebagai tidak peka dengan kebimbangan ibu bapa. – Agensi
-kosmo