Legasi pengangkutan rel lebih seabad di Muzium Mini KTMB

SEKIRANYA anda pernah melalui stesen lama kereta api di Jalan Sultan Hishamuddin di ibu negara, barangkali menyangka bangunan warisan yang pernah menjadi terminal pengangkutan rel utama itu sunyi sepi.
Stesen direka arkitek British, A.B. Hubbock dan dibuka sejak tahun 1910 itu antara mercu tanda terkenal ibu kota sebelum kemunculan stesen baru, KL Sentral di Brickfields lima tahun lalu.
Stesen itu pernah menjadi tumpuan lebih 10,000 penumpang setiap hari.
“Mulai tahun lalu, seluruh dewan legar utama di aras platform diubah menjadi sebuah galeri besar yang memaparkan perkembangan silam Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB),” jelas Kamalul Arifin Muhamad, 56.
Pegawai muzium KTMB itu ketika ditemui Kosmo! Ahad malah memberitahu, perubahan peranan stesen tersebut turut menarik perhatian pelancong asing yang ingin tahu sejarah lama kereta api di Semenanjung Malaysia.
Kebetulan, lokasinya agak strategik iaitu berdekatan Muzium Negara dan bersebelahan sahaja dengan Masjid Negara, Muzium Kesenian Islam Malaysia dan Muzium Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Pasar Budaya.

“Muzium ini asalnya satu unit kecil sejak tahun 1992 dan ditempatkan di sebuah ruang di ibu pejabat KTMB sebelum berpindah ke sini pada tahun lalu,” tambah Kamalul Arifin lagi.
Biarpun masih baru, koleksinya terlalu ‘mewah’ hingga pernah pegawai Arkib Negara Malaysia yang meninjau stor muzium itu terkejut mendapati jumlah item simpanan lebih banyak daripada Muzium Negara.
Namun bagi anak kelahiran Sungai Besar, Selangor ini, kewujudan muzium tersebut memberi pelbagai kenangan tersendiri buat dirinya yang memulakan kerjaya sebagai perantis ketukangan KTMB pada tahun 1971.

“Sebelum bertukar ke unit muzium pada tahun 1992, saya ialah tukang mahir dan tugas waktu itu lebih kepada membaiki semula gerabak lama yang diperbuat daripada papan yang memang antik tetapi masih baik diguna,” katanya.
Antaranya loceng besar diperbuat daripada sejenis logam pada 1890-an, topi unit bomba kereta api tahun 1900-an, mesin penebuk kad jadual kerja dan koleksi pinggan untuk koc kantin berusia lebih 100 tahun.
![]() |
“Saya juga tertarik melihat pelbagai peta Semenanjung yang memaparkan rangkaian landasan kereta api pada tahun 1918 selain gambar-gambar lama yang menunjukkan aktiviti stesen zaman sebelum dan pascamerdeka,” ujarnya.
Kamalul Arifin menambah, kerana minat dengan artifak sejarah, beliau sentiasa memastikan kesemua lebih 500 item koleksi KTMB itu dicuci bersih dan terpelihara untuk tatapan umum para pelawat.
Bayangkan setiap koleksi berusia lebih 80 tahun masih elok sehingga pernah ada pelancong mahu membeli topi bomba stesen kereta api pada harga tinggi kerana kelihatan berkilat dan tinggi nilai sejarahnya.
Menyentuh rancangan masa depan, beliau berharap keseluruhan bangunan stesen lama itu diubah menjadi muzium bagi menempatkan semula kesemua artifak lama KTMB yang kini terpaksa disimpan di pelbagai stor kecil.
“Saya juga akan menulis buku sejarah kereta api kita dengan kerjasama pihak Arkib Negara, Muzium Negara serta Muzium PDRM bagi memastikan generasi akan datang tahu sejarah KTMB,” katanya mengakhiri perbualan.
