
JOHOR BAHRU – Selepas Fasha Sandha, kini giliran artis antarabangsa, Paris Hilton pula menjadi ‘mangsa’ ah long bagi mempengaruhi mangsanya.
Tinjauan Kosmo! di Jalan Serampang di sini semalam mendapati, puluhan gambar Paris telah disalahgunakan oleh pihak terbabit untuk memancing mangsanya supaya membuat pinjaman wang secara mudah.
Selain ditampal di dinding-dinding bangunan, ia juga didapati ditampal di pondok-pondok telefon serta kabel milik Tenaga Nasional Berhad.
Sebelum ini, media melaporkan mengenai tindakan ah long- ah long di sekitar Johor Bahru yang mengeksploitasi gambar Fasha sebagai bahan pelaris.
Bagaimanapun, tiada lagi gambar Fasha dilihat digunakan pihak terbabit selepas didedahkan media.
Seorang pengawal keselamatan, Mohd. Zainal Abidin Mohd. Shukor, 28, berkata, meskipun tidak mudah terpengaruh, dia yakin ramai yang teruja untuk meminjam wang secara mudah dengan adanya gambar-gambar personaliti berkenaan.
“Sebelum ini gambar Fasha, kini gambar Paris pula.
“Saya pasti ramai yang mudah terpengaruh kerana pihak terbabit menawarkan pinjaman peribadi dari serendah RM5,000 sehingga RM200,000 termasuk bagi pinjaman rumah, tanah, kedai, kilang, emas, kereta, pinjaman perusahaan kecil dan sederhana,” katanya.
Bagi pekerja swasta, Siti Mariam Abdullah, 30, dia mengharapkan pihak bertanggungjawab dapat mengambil langkah segera termasuk menanggalkan poster-poster milik ah long terbabit.
“Ia jelas mengaibkan kaum wanita kerana seolah-olah dijadikan modal oleh pihak berkenaan bagi mempromosikan perkhidmatan pinjaman kewangan,” ujarnya.
-arkib kosmo
Paris Hilton pulakkk. ahaha.
macam2x cara untuk tarik perhatian orang….