Ronaldo buat jiran marah-marah


RONALDO dan kekasihnya, Nereida.


BINTANG kelab bola sepak Manchester United (MU), Cristiano Ronaldo mungkin wira kepada berjuta-juta peminatnya bagaimanapun pemain sayap yang berasal dari Portugal itu tidak disenangi jiran-jiran barunya.

Ronaldo, 23, yang mengikut langkah beberapa pemain MU berpindah ke sebuah perkampungan Alderley Edge, Cheshire membina sebuah rumah mewah berharga £4 juta (RM25 juta).

Pembinaan beberapa kediaman mewah oleh beberapa pemain kelab bola sepak MU di perkampungan itu dimulakan oleh penyerang MU, Wayne Rooney.

Rooney, 22, sebelum ini merobohkan sebuah rumah yang mempunyai lima bilik tidur untuk membina kediaman mewahnya yang berharga £4.5 juta (RM28.15 juta).

Dua lagi pemain MU, Wes Brown dan Mikael Silvestre juga membuat tindakan yang sama dan membina kediaman mewah di Alderley Edge.

Ronaldo masih belum berkahwin tetapi dia kini menjalinkan hubungan dengan seorang model, Nereida.

Bagaimanapun, kediaman mewah baru Ronaldo itu menyebabkan jiran-jiran barunya marah kerana mereka menganggap bangunan itu sebagai mengganggu, tidak peka dengan keadaan sekeliling dan menjelikkan.

Ronaldo membeli hartanah yang mempunyai sebuah rumah tradisional dua tingkat itu dengan harga kurang daripada £4 juta (RM25 juta).

Namun, tindakan pemain itu meruntuhkan bangunan tersebut untuk membolehkan kediaman mewahnya didirikan mengakibatkan jiran-jiran berasa sedih.

Bosan dengan tindakan Ronaldo dan beberapa pemain MU yang membina kediaman mewah di kawasan itu para penduduk cuba membuat satu pungutan suara untuk menghalang tindakan seperti itu berulang.

Jiran-jirannya itu turut melahirkan kebimbangan selepas Ronaldo membina pagar keselamatan yang tinggi dan pintu pagar yang besar.


RUMAH Ronaldo yang mencetuskan kemarahan jiran-jirannya di Alderley Edge, Cheshire.


Kediaman mewah Ronaldo yang mempunyai lima bilik tidur itu juga dilengkapi dengan kolam renang, sauna, panggung wayang mini dan bilik media.

Para penduduk dan kumpulan alam sekitar juga pernah menghantar beberapa surat bantahan kepada pihak berkuasa tempatan apabila Ronaldo mula membina kediamannya pada 2005.

Seorang penduduk, Martin Regan dalam suratnya memberitahu bahawa kediaman baru Ronaldo itu menjejaskan dan menganggu kawasan perlindungan alam sekitar.

Seorang lagi penduduk, John Priestley mengadu saiz kediaman Ronaldo yang besar itu akan menutup pandangan dan mengancam rumah serta taman miliknya.

Seorang lagi jiran, Patten bimbang kerana rumah pemain itu mempunyai pagar setinggi empat meter sekali gus mengubah kawasan perkampungan itu.

“Pembangunan seperti ini semakin banyak berlaku di perkampungan ini dan ia boleh menganggu serta menjejaskan persekitaran,” katanya.

Bagaimanapun, bantahan daripada para penduduk itu ditolak oleh jabatan perancang bandar di Macclesfield dan memberi kebenaran untuk pembinaan itu dijalankan.

Menurutnya, para pemilik baru yang kaya memerlukan beberapa keperluan seperti bilik tidur yang besar dan kolam renang yang tidak dimiliki oleh rumah yang lama.

Pihak berkuasa memberitahu bahawa pihaknya tidak boleh menghalang pembinaan seperti itu semata-mata penduduk menyukai bangunan yang lama. - Agensi