RESTORAN dibenar guna awalan ‘Mc’

Restoran dibenar guna awalan ‘Mc’

mainpix1 RESTORAN dibenar guna awalan Mc
RESTORAN McCurry di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

PUTRAJAYA: Rangkaian restoran makanan segera McDonald’s semalam hilang hak eksklusif terhadap penggunaan awalan ‘Mc’ apabila Mahkamah Rayuan membenarkan sebuah cawangan rangkaian restoran India tempatan, McCurry Restaurant, menggunakan ‘Mc’ pada papan tanda perniagaannya.

Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Gopal Sri Ram (kini hakim Mahkamah Persekutuan), yang bersidang bersama Hakim Datuk Heliliah Mohd Yusof dan Hakim Datuk Sulong Matjeraie memutuskan tiada bukti menunjukkan McCurry Restaurant di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, cuba mendakwa bahawa perniagaan McDonald’s adalah kepunyaannya.

“Dengan hormat, hakim yang arif telah terkhilaf apabila membuat andaian bahawa McDonald’s memegang monopoli terhadap penggunaan awalan ‘Mc’ pada papan tanda atau dalam menjalankan perniagaan.

“Dalam penghakiman saya, inferens kukuh yang boleh diambil daripada keseluruhan bukti ialah papan tanda McCurry Restaurant tidak akan menyebabkan seseorang yang berfikiran munasabah mengaitkan McCurry dengan tanda perniagaan McDonald’s.

“Berasaskan sebab-sebab diberi, saya meluluskan rayuan McCurry Restaurant dan mengubah penemuan yang arif hakim berkenaan,” kata Sri Ram dalam penghakimannya.

Beliau berkata, tindakan McCurry Restaurant memilih nama ‘McCurry’, tidak boleh membawa kepada inferens bahawa ia ingin mencari keuntungan secara tidak adil melalui penggunaan awalan itu.

Pada 7 September 2006, Mahkamah Tinggi memutuskan McDonald’s, yang popular di kalangan kanak-kanak, memiliki hak eksklusif untuk menggunakan awalan ‘Mc’ dan memerintahkan McCurry Restaurant (KL) Sdn Bhd membayar pampasan kepada McDonald’s Corporation, pemilik rangkaian restoran McDonald”s.

Dalam penghakimannya, Hakim Siti Mariah Ahmad, berkata dengan menggunakan perkataan ‘McCurry’ dan papan iklan yang mengandungi warna yang sudah sebati dengan McDonald’s, McCurry Restaurant melakukan perbuatan yang boleh menimbulkan kekeliruan serta penipuan.

Dalam pernyataan tuntutannya, McDonald’s berkata, ia mencipta awalan ‘Mc’ sebagai tanda perniagaan dan dengan menggunakan awalan ‘Mc’ serta perkataan ‘Curry’, McCurry Restaurant, yang sebelum ini dikenali sebagai Restoran Penang Curry House (KL) Sdn Bhd, secara salah menampilkan yang ia mempunyai kaitan dengan McDonald’’s.

-bharian

This entry was posted in Ragam Dunia and tagged , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

CommentLuv badge