Filem bukan landasan terbaik sedarkan BOHSIA, mat rempit
JIKA sebelum ini saya tertarik dan terpukau dengan kecanggihan teknologi barat dalam filem sains fiksyen Alien vs Predator, di Malaysia pula saya terpegun dengan selitan promosi babak merangsangkan dalam filem terbaru Bohsia.
Terkejut dengan kreativiti hebat pengarah dan penerbit filem yang hanya mementingkan nilai komersial tanpa memikirkan implikasi filem berkenaan kepada generasi muda.
Saya tersentak apabila kali pertama menyaksikan babak menarik filem Bohsia di kaca televisyen baru-baru ini. Adakah saya berfikiran kolot atau kuno kerana minda saya tiba-tiba tertutup dan jantung berdegup kencang?
Tema filem yang cukup menggegarkan perasaan. Walaupun ada ayat kesedaran ‘jangan pilih jalan hitam’, saya masih tertanya-tanya adakah filem ini sesuai dengan budaya masyarakat di Malaysia apatah lagi kita masih dibelenggu pelbagai masalah moral remaja.
Adakah benar filem Bohsia ini mampu mencetuskan kesedaran remaja agar tidak terbabit dalam aktiviti tidak bermoral ini? Jika benar, adakah kajian dibuat selepas tayangan filem Rempit dulu untuk membuktikan penurunan kadar pembabitan mat rempit dalam aktiviti tidak bermoral.
Pastinya secara umum, mat rempit masih lagi menggila di jalan raya dan tidak pernah hiraukan mengenai keselamatan seperti mesej yang cuba disampaikan pengarah dan penerbit filem.
Saya pasti mesej filem Bohsia akan dibaca secara terbalik oleh golongan ‘Bohsia @ Alien’ dan juga ‘mat rempit @ predator’. Filem Bohsia seolah-olah akan mengangkat martabat mereka di kacamata masyarakat. Apa yang pasti, penerbit akan tersenyum bangga dengan kutipan yang memecahkan rekod perfileman Malaysia.
Mungkin saya agak keterlaluan dalam berfikir secara reflektif. Saya cuma ingin menterjemahkan faktor psikologi anak-anak remaja. Mereka bukan berfikiran seperti pengarah dan penerbit filem yang saya tidak nafikan berniat baik dan positif.
Jiwa mereka adalah jiwa memberontak dan jiwa yang suka mencuba sesuatu yang baru. Filem Bohsia hanya akan mencelarukan lagi masalah sosial anak-anak remaja yang kini kita sudah tidak menang tangan.
Percayalah bahawa filem bukanlah landasan terbaik untuk mencetuskan kesedaran golongan bohsia, mat rempit, minah tersempit, gay, lesbian dan pelacur. Landasan terbaik adalah melalui pendidikan jangka panjang melalui ceramah, kaunseling dan tarbiah agama.
Diharapkan agar pihak Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan tidak lena diulit mimpi untuk meneruskan budaya ‘sudah terantuk baru nak terngadah’.
-Surat pembaca berita harian