
KEMAMAN – Nyawanya nyaris melayang dalam satu nahas helikopter di tengah-tengah perairan di Dungun di sini kira-kira dua tahun lalu.
Malangnya, sehingga kini, mangsa, Khairunizan Abd. Aziz, 33, yang cedera dan trauma akibat kemalangan yang mengorbankan seorang juruterbang, hanya diberi ganti rugi sebanyak RM100!
Dia yang ketika itu bekerja sebagai pembaik pulih di pelantar minyak mendakwa, wang RM100 itu diberi seorang pegawai syarikat tempatnya bekerja semasa melawatnya di hospital sehari selepas kejadian.
Menurut Khairunizan, pada masa itu beberapa pegawai syarikat tersebut pernah berjanji memberi ganti rugi berikutan kemalangan helikopter yang dinaiki 19 pekerja dan dua juruterbang itu.
“Seorang pegawai syarikat itu berkata kepada saya kalau tak banyak pun dalam ribu-ribu (RM), boleh dapat.
“Malah, bos besar syarikat yang beribu pejabat di Miri (Sarawak) itu pun datang menemui saya di rumah dan memberi jaminan untuk mengusahakan pemberian ganti rugi.
“Tapi janji tinggal janji dan syarikat tidak memberi sebarang ganti rugi sehingga hari ini melainkan wang RM100 itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Geliga, di sini, semalam.
Menurut Khairunizan, pelbagai usaha dibuatnya untuk menuntut ganti rugi termasuklah mendapat nasihat peguam dan mengadu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia tetapi tidak berhasil.
“Jawapan yang diterima daripada pihak tersebut ialah saya hanya cedera ringan dan tak mati. Maknanya saya kena mati baru boleh dapat ganti rugi!,” ujarnya.
Khairunizan merupakan salah seorang daripada 21 orang yang terbabit dalam nahas sebuah helikopter Super Puma yang tenggelam kira-kira 103 batu nautika dari persisiran pantai Dungun akibat masalah teknikal pada 5 November 2006.
![]() |
|
Khairunizan bersama anaknya di rumahnya di Kampung Geliga, Kemaman semalam.
|
Kemalangan berlaku ketika helikopter berkenaan dalam penerbangan menghantar pekerja minyak ke platform Tapis B dari Lapangan Terbang Kerteh, di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.45 pagi itu, juruterbang helikopter berkenaan, Kapten Mohd. Salleh Teguh, terkorban.
Khairunizam mendakwa, beberapa rakan sekerja yang turut terselamat di dalam kemalangan itu memberitahu telah menerima ganti rugi daripada syarikat.
“Apa yang menghairankan saya, beberapa pekerja di pelantar minyak yang menyelamatkan kami semasa helikopter tenggelam dapat habuan, tapi saya sendiri yang menjadi mangsa tak dapat apa-apa,” katanya.
Menurutnya, dia mengambil keputusan berhenti kerja dua bulan selepas kejadian ekoran trauma untuk menaiki pengangkutan udara.
Justeru, bagi menyara hidup isteri dan dua orang anak berusia dua dan lapan tahun, beliau kini bekerja sebagai pengawal keselamatan pada waktu malam.
“Saya merayu supaya syarikat terbabit boleh menimbangkan untuk memberi sedikit bayaran. Saya hampir maut dan lemas, takkan tidak boleh beri sedikit ganti rugi,” rayunya.
-arkibkosmo
