JOMBANG – Ratusan pesakit masih mengunjungi kediaman seorang bomoh bernama Ponari di sini yang didakwa memiliki batu ajaib bagi menyembuh pelbagai penyakit, lapor sebuah akhbar semalam.
Mereka tidak menghiraukan larangan sementara yang dikeluarkan pihak berkuasa supaya tidak mengunjungi bomoh yang berumur sembilan tahun itu.
Speaker Dewan Perundangan Jombang di Jawa Timur, Abdul Halim Iskandar meminta polis supaya tidak menggunakan kekerasan tetapi menangani orang ramai dengan berperikemanusiaan.
“Polis perlu memastikan keselamatan dan menghalang para pelawat daripada menyerbu rumah Ponari melainkan mereka yang benar-benar mahu mendapatkan rawatan,” katanya.
Ketua Polis Jombang, Senior Komisioner Tomsi Tohir berkata, pihak polis tidak dapat menghalang orang ramai daripada melawat Ponari tetapi jumlah pelawat akan dihadkan bagi mengelakkan insiden kematian kerana rempuhan.
Ponari mendapat perhatian sejak Januari lalu selepas dia mendapat seketul batu ajaib ketika hampir disambar petir.
Dia mengubati pelbagai jenis penyakit dengan mencelupkan batu tersebut ke dalam air.
Seorang pegawai polis, Sutikno pernah mendedahkan Ponari menggoncang seorang kanak-kanak bisu dan budak itu kembali bercakap. – Agensi
